Google ikrar komitmen AS$9 bilion untuk perluas AI & prasarana cloud di Oklahoma
Google, anak syarikat Alphabet, menyatakan pada Rabu (13 Ogos) bahawa ia akan membelanjakan lagi A$9 bilion (S$11.51 bilion) di Oklahoma dalam tempoh dua tahun akan datang untuk mengembangkan kecerdasan buatan (AI) dan prasarana pengkomputeran cloud.
Logo Google di sebuah kemudahan penyelidikan syarikat itu di Mountain View, California, Amerika Syarikat pada 13 Mei 2025. (Gambar fail: REUTERS/Carlos Barria)
Syarikat itu akan membina kampus pusat data baharu di Stillwater dan memperluaskan kemudahan Pryornya untuk meningkatkan kapasiti AI dan cloud, bersama dengan program pendidikan dan tenaga kerja.
Persaingan yang sengit dalam kalangan gergasi-gergasi teknologi telah mendorong Google untuk melabur besar-besaran untuk membina tapak pusat data baharu dan pembangunan kemahiran di tengah-tengah permintaan yang berkembang pesat untuk perkhidmatan AI.
Menurut Google, sebahagian daripada perbelanjaan itu dimasukkan ke dalam pelan CAPEX 2025 yang diumumkan sebelum ini, sementara selebihnya diperuntukkan untuk masa depan.
Bulan lalu, Alphabet meningkatkan rancangan perbelanjaan modal tahunannya kepada sekitar AS$85 bilion (S$108.74 bilion) daripada AS$75 bilion (S$95.94 bilion) sebelum ini, dan memberi isyarat bahawa lebih banyak perbelanjaan akan diperuntukkan pada tahun depan.
Alphabet dan syarikat-syarikat teknologi lain mempertahankan perbelanjaan besar masing-masing dalam AI sebagai langkah penting untuk memacu pertumbuhan dan memperbaiki produk di tengah-tengah persaingan sengit daripada syarikat-syarikat teknologi di China dan rasa tidak puas hati para pelabur terhadap pulangan yang hambar berbanding apa yang dijangkakan.
Minggu lalu, Google turut memperuntukkan AS$1 bilion (S$1.28 bilion) untuk pendidikan dan latihan AI bagi institusi-institusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan keuntungan di Amerika Syarikat. Pesaing Google termasuk OpenAI, Anthropic dan Amazon yang turut melancarkan inisiatif serupa berhubung AI dalam bidang pendidikan.
Lebih 100 universiti menyertai inisiatif Google setakat ini, termasuk sesetengah universiti awam yang besar seperti Texas A&M dan University of North Carolina.
Sementara itu, usaha Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk meningkatkan pelaburan dalam negeri turut mempercepatkan pelaburan infrastruktur AI oleh syarikat-syarikat seperti Micron, Nvidia dan CoreWeave.
Apple juga mengumumkan minggu lalu bahawa ia merancang untuk membelanjakan AS$600 bilion (S$767.55 bilion) di Amerika Syarikat dalam tempoh empat tahun akan datang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.