Google berhentikan 200 pekerja dari unit perniagaan globalnya
Google pada Selasa (6 Mei) memberhentikan kira-kira 200 pekerja dari seluruh unit perniagaan globalnya, yang bertanggungjawab bagi penjualan dan perkongsian, lapor The Information pada Rabu (7 Mei), sambil menukil seseorang yang mengetahui tentang situasi tersebut.
Orang ramai berjalan di sebelah logo Google di satu pameran perdagangan di Hannover Messe, Hanover, Jerman, pada 22 April 2024. (Gambar fail: REUTERS/Annegret Hilse)
Gergasi-gergasi teknologi telah mengubah hala perbelanjaan mereka ke arah pusat data dan pembangunan kecerdasan buatan (AI), sambil mengecilkan pelaburan di tempat-tempat lain.
Google memberitahu Reuters dalam satu kenyataan bahawa ia sedang melakukan sejumlah kecil perubahan pada pasukan-pasukannya "untuk memacu kerjasama yang lebih besar dan mengembangkan keupayaannya untuk melayani pelanggan dengan lebih pantas dan berkesan."
The Information melaporkan bulan lalu bahawa Google telah memberhentikan beratus-ratus pekerja dalam platform dan unit perantinya, yang menempatkan platform Android, telefon bijak Pixel dan Chrome, antara aplikasi-aplikasi lain.
Pada Januari 2023, syarikat induk Google, Alphabet mengumumkan rancangan untuk memotong 12,000 pekerjaan, atau 6 peratus daripada tenaga kerja globalnya.
Ia menggajikan seramai 183,323 pekerja setakat 31 Disember 2024, menurut pemfailan pada Februari lalu.
Syarikat induk Facebook, Meta telah memberhentikan kira-kira 5 peratus daripada pekerja "berprestasi paling rendah" pada Januari lalu, sambil meneruskan pengambilan jurutera pembelajaran mesin yang dipercepatkan.
Microsoft juga memotong 650 pekerjaan dalam unit Xboxnya pada September tahun lalu. Amazon pula memberhentikan para pekerja daripada beberapa unit, termasuk komunikasi, manakala Apple menggugurkan sekitar 100 peranan dalam kumpulan perkhidmatan digitalnya pada tahun lalu, menurut laporan media.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.