Skip to main content

Kewangan

Goldman Sachs bebas tuduhan urus niaga bon 1MDB

Mahkamah Tinggi hari ini (4 Sep) melepaskan dan membebaskan Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia daripada pertuduhan berkaitan kes terbitan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai AS$6.5 bilion (S$8.9 billion).

Anggaran Waktu Membaca:
Goldman Sachs bebas tuduhan urus niaga bon 1MDB

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 04 Sep 2020 02:37PM Dikemas Kini : 04 Sep 2020 02:43PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini (4 Sep) melepaskan dan membebaskan Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia daripada pertuduhan berkaitan kes terbitan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai AS$6.5 bilion (S$8.9 billion).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Encik Masri Mohd Daud untuk menarik balik semua pertuduhan terhadap bank pelaburan global itu yang berpangkalan di United Kingdom.

“Oleh itu Goldman Sachs International Ltd, Goldman Sachs (Asia) dan Goldman Sachs (Singapura) dilepaskan dan dibebaskan daripada empat pertuduhan terhadap mereka,” katanya.

Pada Disember 2018, Malaysia memfailkan empat pertuduhan terhadap Goldman Sachs kerana didakwa meninggalkan fakta berhubung penjualan bon terbitan antara anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments PJS. Limited (Aabar Limited).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat 1MDB, Aras 8, Menara IMC, No 8, Jalan Sultan Ismail, antara 19 Mac 2012 dan 11 Nov 2013.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum menurut Seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta (S$330,000), jika sabit kesalahan.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) menganggarkan sekitar AS$4.5 bilion (S$6 bilion) diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014.

Pada 4 Julai lalu, Kementerian Kewangan dilaporkan sebagai berkata Goldman Sachs bersetuju membayar AS$3.9 bilion (S$5 bilion) bagi penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berkaitan dengan tiga urus niaga bon yang diatur untuk 1MDB.

Kementerian itu menyatakan penyelesaian itu merangkumi pembayaran tunai AS$2.5 bilion (S$3.4 bilion) dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion (S$1.9 bilion) dari segi aset yang terkait dengan hasil yang diseleweng melalui tiga urus niaga bon tersebut.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita