Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Goldbell selesai peroleh BlueSG, akan labur S$40 juta jelang 2023

Syarikat Singapura, Goldbell Group, sudah selesai proses pemerolehan syarikat perkongsian kereta elektrik BlueSG dan akan melaburkan S$40 juta untuk mengembangkan syarikat itu dalam tempoh dua tahun akan datang, menurut syarikat sewa kenderaan itu pada Isnin (18 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Goldbell selesai peroleh BlueSG, akan labur S$40 juta jelang 2023

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 18 Oct 2021 06:43PM Dikemas Kini : 18 Oct 2021 06:47PM

SINGAPURA: Syarikat Singapura, Goldbell Group, sudah selesai proses pemerolehan syarikat perkongsian kereta elektrik BlueSG dan akan melaburkan S$40 juta untuk mengembangkan syarikat itu dalam tempoh dua tahun akan datang, menurut syarikat sewa kenderaan itu pada Isnin (18 Okt).

Jumlah itu membentuk 60 peratus daripada S$70 juta yang diumumkan sebelum ini sebagai pelaburan ke dalam syarikat itu selama lima tahun.

BlueSG - yang kini mempunyai sekitar 650 kenderaan elektrik (EV) di Singapura - sebelumnya merupakan anak syarikat konglomerat Perancis, Bollore Group.

Ia mula beroperasi di sini pada 2017, hasil kerjasama dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi, sebagai sebahagian usaha untuk menjadikan sistem pengangkutan Singapura lebih mampan.

Goldbell Group yang berusia 41 tahun, pertama kali mengumumkan pembelian itu pada Februari tahun ini, namun enggan mendedahkan berapa nilai perjanjian itu.

Dalam kenyataan medianya pada Isnin, Goldbell menyatakan ia berada pada landasan yang tepat untuk memperluaskan jumlah kereta BlueSG dengan segera. Ia juga bercadang untuk menambah bilangan pekerja pengendali perkongsian kereta elektrik itu sebanyak 20 peratus menjelang hujung tahun ini dengan penambahan pasukan teknologi baru.

"Antara keutamaan segera Goldbell adalah merealisasikan potensi BlueSG dengan pengembangan kemampuan perniagaan dan teknikalnya untuk membangunkan model perniagaan yang akan diulang di bandar-bandar bijak lain di rantau Asia Pasifik," kata syarikat itu.

Langkah pertama Goldbell adalah menubuhkan ibu pejabat global untuk perkongsian kereta menjelang akhir tahun ini, yang akan ditubuhkan melalui BlueSG.

Ini akan merintis jalan kepada usaha mengembangkan sayap ke luar negara dalam "beberapa tahun akan datang", menurut firma itu.

Satu wadah inovasi terbuka, yang akan memainkan peranan sebagai ruang ujian bagi teknologi eksperimen seperti penyimpanan dan pengurusan tenaga, sistem mobiliti canggih dan teknologi pengecas, juga akan ditubuhkan melalui BlueSG.

Ketua eksekutif Goldbell Arthur Chua berkata BlueSG akan melangkah ke "era baru" dengan pemerolehan itu.

"Kami bukan hanya berminat menerapkan teknologi generasi baru dan bertahap eksperimen dalam armada perkongsian kereta kami, kami juga menyasarkan kerjasama dengan syarikat, serta institut pengajian tinggi dan institut penyelidikan tempatan, untuk merealisasikan visi kami untuk mengembangkan armada BlueSG menjadi makmal hidup untuk inovasi Mobiliti Masa Depan,” katanya.

Cik Jenny Lim, yang sebelum ini memegang jawatan pengarah komersil dan rangkaian BlueSG, telah dilantik sebagai ketua BlueSG Singapura, yang bertanggungjawab ke atas keseluruhan operasi.

Pada Julai, diumumkan bahawa rangkaian tempat mengecas kenderaan elektrik di merata negara sebanyak 1,500 yang dahulu milik BlueSG dibeli oleh TotalEnergies.

Encik Chua menambah, Goldbell juga "teruja" terhadap minat yang ditunjukkan dalam kalangan syarikat-syarikat antarabangsa yang ingin "memanfaatkan jenama BlueSG kami untuk mempamerkan model kenderaan elektrik baru mereka" sebagai sebahagian daripada usaha pengembangan armada, tanpa mendedahkan sebarang nama syarikat tertentu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan