Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Gojek lanjutkan yuran sementara bagi pemandu hingga hujung 2022

Anggaran Waktu Membaca:
Gojek lanjutkan yuran sementara bagi pemandu hingga hujung 2022

Logo Gojek di luar sebuah pusat beli-belah di Singapura. (Gambar fail: Zhaki Abdullah/CNA)

Diterbitkan : 25 Jul 2022 03:55PM Dikemas Kini : 25 Jul 2022 03:57PM
SINGAPURA: Syarikat khidmat kereta sewa Grab menyatakan pada Isnin (25 Jul) ia akan melanjutkan yuran sementara bagi pemandu sehingga hujung tahun ini kerana kos bahan api kekal "tidak stabil".

Yuran tetap pertama kali diperkenalkan pada Mac untuk membantu pemandu menangani harga bahan api yang meningkat. Sejak 31 Mac, semua perjalanan Gojek kurang dari 10 kilometer (km) dikenakan yuran tetap S$0.50. Semua perjalanan yang melebihi 10km pula tertakluk kepada yuran tetap S$0.80.

Syarikat itu sebelum ini menyatakan yuran tersebut akan dikenakan sehingga sekurang-kurangnya 31 Julai. Ia kini akan dilanjutkan sehingga 31 Disember.

"Dengan kos bahan api kekal tidak stabil, pelanjutan ini akan menghulurkan sokongan berterusan kepada rakan pemandu kami dan memastikan kestabilan pendapatan buat mereka," jelas Gojek.

Yuran itu dikenakan bagi semua perjalanan GoCar, GoCar Premium dan GoCar XL kecuali untuk GoTaxi kerana tambangnya berdasarkan meter teksi.

Jumlah yuran penuh akan diterima oleh pemandu dan ia tidak tertakluk kepada kadar komisen sedia ada Gojek, tambah syarikat itu.

Ketua Pengurus Gojek Singapore Lien Choong Luen berkata: "Dengan kos sara hidup terus meningkat dan keadaan makroekonomi kekal tidak menentu, kami perlu memastikan bahawa kami juga boleh menghulurkan sokongan buat mereka sepanjang tempoh ini.

"Pelanjutan itu akan menyediakan perlindungan pendapatan yang amat diperlukan dan keselamatan untuk rakan pemandu kami supaya mereka boleh terus mencari mata pencarian yang mampan buat jangka panjang."

Selain yuran itu, insentif dan langkah sedia ada yang lain, untuk menyokong pemandu Gojek, termasuk pemotongan yuran perkhidmatan kepada 10 peratus bagi semua perjalanan, sehingga sekurang-kurangnya hujung tahun 2022.

Untuk membantu mengimbangi yuran itu, Gojek menyatakan pengguna boleh terus menggunakan kod promosi dan baucar sedia ada.

Harga bahan api naik sejak beberapa bulan kebelakangan ini, didorong oleh permintaan lebih tinggi bagi minyak mentah sedang ekonomi-ekonomi dibuka semula serta bekalan yang terhambat dek sekatan terhadap Rusia.

Terdapat juga kurang pelaburan dalam pengeluaran bahan api fosil sepanjang tahun-tahun lalu, kata Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Low Yen Ling di Parlimen pada 5 Julai lalu.

Beliau berkata Pemerintah akan menyemak semula pasaran runcit bahan api untuk menentukan sama ada terdapat cara-cara lain untuk mengurangkan tekanan ke atas harganya.

Bulan lalu, Menteri Negara Kanan Kewangan merangkap Pengangkutan Chee Hong Tat mengumumkan semua pemandu teksi utama yang layak dan pemandu kereta sewa privet akan mendapat bantuan sekali sahaja berjumlah S$150, yang akan diterima pada Ogos ini.

Bantuan itu sebahagian daripada pakej sokongan bernilai S$1.5 bilion yang disasarkan untuk menghulurkan bantuan serta-merta kepada golongan bergaji rendah serta mereka yang mudah terjejas, menurut Kementerian Kewangan pada Jun.
Grab dan TADA mengumumkan pada Mei bahawa ia sudahpun melanjutkan tempoh yuran sementara bagi pemandu sehingga hujung Julai sebagai sebahagian usaha untuk membantu pemandu menangani kenaikan kos.
Apabila ditanya jika TADA akan melanjutkan yuran sementara untuk pemandunya, syarikat itu enggan mengulasnya.

Mediacorp sudahpun menghubungi Grab dan Ryde untuk bertanyakan tentang yuran sementara bagi para pemandu.
 
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan