Gojek lancarkan khidmat kereta sewa privet mewah di S'pura

(Gambar: Gojek/iStock)
SINGAPURA: Ada kalanya anda mungin teringin menaiki kereta yang lebih bergaya, ataupun anda perlu menjemput klien dengan kereta yang lebih mewah.
Jangan khuatir, aplikasi tempahan kereta sewa privet Gojek, yang sedang memperluaskan khidmatnya di Singapura, akan melancarkan GoCar Premium, iaitu khidmat ikut permintaan untuk menempah kereta-kereta mewah.
Khidmat itu boleh ditempah mulai 14 Februari, dari pukul 2.00 petang ke atas, dan membenarkan para penumpang untuk menempah teksi-teksi premium dan kenderaan-kenderaan mewah untuk empat orang. Perkhidmatan itu akan menawarkan "pengalaman yang lebih selesa dengan ruang kenderaan yang lebih besar dan tempat duduk yang lebih lumayan", menurut Gojek dalam satu kenyataan media.
Khidmat tersebut juga akan menyingkatkan lagi masa menunggu buat para penumpang dan lebih banyak pilihan kenderaan yang sedia ada, dengan lebih banyak kenderaan mewah yang boleh ditempah.
Perjalanan GoCar Premium akan berharga 30 hingga 50 peratus lebih mahal, berbanding GoCar. Ini juga akan menambahkan pendapatan bagi para pemandu di platform Gojek, menurut syarikat tersebut. Yuran platform untuk para penumpang dan yuran khidmat buat para pemandu tidak akan diubah.
"Kami berasa besar hati untuk melancarkan GoCar Premium, sedang kami terus membuat pelaburan yang strategik di Singapura, dengan tujuan untuk memperkukuhkan tawaran kami di pasaran dan juga meningkatkan lagi pengalaman bagi para pelanggan kami," menurut Pengurus Besar Gojek Singapura, Lien Choong Luen.
"Para penumpang boleh memilih kenderaan-kenderaan lebih premium, dengan mutu khidmat yang lebih tinggi dan keselesaan pada harga berpatutan, manakala tawaran baru khidmat Gojek juga akan memberikan para pemandu kami peluang untuk membawa pulang untung yang lebih besar, sambil membantu mereka untuk mendapat mata pencarian yang mampan menerusi platform kami," tambah Encik Lien.
Para pesaing dalam khidmat tempahan kereta sewa privet di Singapura sudah mula melancarkan khidmat sewa kereta privet premium baru-baru ini. Pada Mei 2021, Grab memperluaskan tawaran pengangkutan premiumnya, dengan pelancaran GrabCar Exec, khidmat kereta limusin untuk acara dan majlis-majlis tertentu.
Pada April 2021 pula, Ryde melancarkan RydeLUXE, khidmat premium yang memadankan para pelanggan dengan kereta premium untuk empat dan enam orang.
Pelancaran Gojek itu menyusuli beberapa peningkatan kepada platform mereka, termasuk pelancaran GoCar XL, GoCorp dan GoTaxi. Para pelanggan perlu mengemas kini aplikasi mereka kepada versi 4.34 ke atas untuk melanggani khidmat GoCar Premium apabila dilancarkan pada 14 Februari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.