Gojek bantu tambah pendapatan pemandu; potong komisen, tawar ganjaran
Bermula 21 Jun sehingga selewat-lewatnya hujung 2022, syarikat kenderaan sewa Gojek akan memotong komisen yang diambil daripada para pemandunya sebanyak separuh - dari 20 peratus kepada 10 peratus - agar mereka tidak lagi bergantung kepada insentif untuk meraih pendapatan lebih tinggi.
(Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)
SINGAPURA: Bermula 21 Jun sehingga selewat-lewatnya hujung 2022, syarikat kenderaan sewa Gojek akan memotong komisen yang diambil daripada para pemandunya sebanyak separuh - dari 20 peratus kepada 10 peratus - agar mereka tidak lagi bergantung kepada insentif untuk meraih pendapatan lebih tinggi.
Semasa mengumumkan keputusannya pada Isnin (14 Jun), langkah itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan langkah pesaing utamanya, Grab, yang masih mengenakan komisen sehingga 20 peratus dan baru-baru ini mengumumkan kenaikan tambang S$1 untuk meningkatkan pendapatan pemandunya di tengah-tengah kenaikan harga minyak dan kos penyelenggaraan.
Jurucakap Gojek mengesahkan kepada Mediacorp bahawa tambang penumpang tetap tidak berubah walaupun terdapat peningkatan pada pendapatan pemandu.
Dalam catatan blognya, Gojek menyatakan bahawa pemotongan komisen itu "tidak akan mengenakan syarat-syarat prestasi" dan akan ditawarkan untuk jangka panjang bagi memberikan "jaminan dan kestabilan yang lebih besar" kepada para pemandunya.
Langkah itu bagi memenuhi keperluan para pemandunya - dengan separuh daripada mereka memberikan maklum balas bahawa mereka mahukan yuran perkhidmatan yang lebih rendah untuk mencapai pendapatan yang lebih baik, tambahnya.
BONUS HARIAN, "JARING KESELAMATAN" PEMANDU
Selain memotong komisen, Gojek juga mengumumkan bahawa mulai 21 Jun pihaknya akan memperkenalkan ganjaran S$3 kepada para pemandu yang memandu sejauh 3 kilometer atau lebih untuk mengambil penumpang mereka. Ini sebagai ganjaran kepada pemandu atas 'usaha tambahan' mereka, menurut syarikat tersebut.
Menurut Gojek, ia juga akan menawarkan ganjaran kepada pemandu dengan bonus sehingga S$100 sehari bagi mereka yang melakukan lebih banyak perjalanan pada waktu-waktu sibuk, sambil menambah bahawa ganjaran maksimum akan lebih mudah dicapai dari Jumaat hingga Ahad di mana permintaan adalah 30 peratus lebih tinggi.
Mulai 1 Julai, Gojek juga akan memulakan program "jaring keselamatan" baru yang akan membuat tokokan kepada para pemandu yang melakukan sekurang-kurangnya 400 perjalanan sebulan tetapi memperolehi pendapatan yang kurang daripada pendapatan bulanan minimum dari tambang perjalanan kasar mereka.
Dalam kenyataan medianya, pengurus besar Gojek, Encik Lien Choong Luen, berkata bahawa perubahan-perubahan itu adalah "langkah konkrit" yang bertujuan untuk meredakan kebimbangan sesetengah pemandu di tengah-tengah ketidakpastian akibat pandemik COVID-19.
Langkah-langkah itu secara khususnya akan memberi "lebih kelonggaran kepada pemandu dengan mengurangkan pergantungan mereka kepada insentif,” katanya. Skim insentif semasa akan dimansuhkan secara berperingkat.
Gojek menambah bahawa oleh kerana perubahan dirancang untuk membantu pemandunya meraih "mata pencarian yang lebih mampan" di platformnya, para penumpang juga akan meraih manfaat apabila jumlah pemandunya bertambah, kerana khidmat perjalanan yang lebih mudah tersedia dan masa menunggu juga lebih singkat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.