Go-Jek pikat pemandu dengan tawaran bonus sehingga $310 sehari
Grab dan Go-Jek bersaing untuk menjadi penyedia khidmat tempahan kereta sewa privet terbesar di negara ini.
SINGAPURA: Grab dan Go-Jek bersaing untuk menjadi penyedia khidmat tempahan kereta sewa privet terbesar di negara ini.
Seorang pengamat berkata pemenangnya mungkin bergantung kepada jumlah kereta yang menyertai syarikat-syarikat itu.
Bagi menarik para pemandu menyertainya, 'pendatang baru' Go-Jek melancarkan skim insentif terkininya. Skim tersebut dijangka akan menarik ribuan pemandu untuk menyertai syarikat itu sejak ia dilancarkan kurang sebulan lalu.
Seorang pemandu kereta sewa privet, Encik Anthony Tay, memberitahu Mediacorp bahawa memandu bagi syarikat Go-Jek kurang memberinya tekanan berbanding memandu bagi pihak Grab dan Uber. Bahkan beliau kini boleh meraih bonus sehingga $310 sehari di samping pendapatan hariannya.
Berdasarkan sistem mata Go-Jek, seorang pemandu akan mendapat satu mata ganjaran bagi setiap perjalanan. Namun, sekiranya pemandu memandu pada waktu sibuk, mereka akan diberikan 1.5 mata ganjaran.
Pemandu perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 30 mata ganjaran sehari untuk mendapatkan bonus maksimum $310.
Para pemandu berpendapat skim itu lebih menguntungkan daripada Grab. Malah sebahagian daripada mereka sudah beralih kepada Go-Jek.
Seorang pakar berkata Go-Jek sudah menggunakan strategi yang betul sebagai pendatang baru untuk bersaing dengan firma besar seperti Grab.
"Sekiranya Grab mempunyai terlalu ramai pemandu berbanding Go-jek, pelanggan mungkin tidak akan memuat turun aplikasi Go-Jek. Sebabnya, pelanggan akan berfikir bahawa mereka tidak akan mendapat tempahan secepatnya," kata Penolong Profesor di Sekolah Perniagaan NUS, Encik Yang Nan.
Go-Jek bagaimanapun memberitahu Mediacorp bahawa respons daripada pemandu sangat memberangsangkan dengan 'puluhan ribu' pendaftaran sejauh ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.