Skip to main content

Kewangan

GIC tingkatkan pelaburan dalam aset berdaya tahan terhadap inflasi

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dana pelaburan Singapura GIC pada Rabu (27 Jul) melaporkan sedikit kemerosotan dalam pulangan untuk tahun kewangan yang lalu.

GIC memberi amaran mengenai perubahan landskap pelaburan yang pesat berubah, didorong oleh "ketidaktentuan hebat" seperti kenaikan inflasi.

GIC menyatakan ia sudah meningkatkan pelaburan dalam aset-aset yang mampu berdaya tahan terhadap inflasi sebagai sebahagian daripada pendekatannya untuk menguruskan risiko.

Dalam laporan tahunan 2021/22, GIC menyatakan bahawa kadar pulangan sebenar tahunan bagi tempoh 20 tahun mencatat 4.2 peratus bagi tahun yang berakhir pada 31 Mac. Kadar itu rendah sedikit berbanding 4.3 peratus yang dicatatkan setahun lalu.
Dalam laporannya, GIC menarik perhatian bahawa tahun 2021 menyaksikan pemulihan ekonomi sejagat yang dibantu oleh sokongan kewangan dan fiskal yang belum pernah berlaku sebelumnya, permintaan yang tertangguh oleh pengguna serta akses yang lebih baik kepada vaksin COVID-19.

Meskipun begitu, 2021 juga dipenuhi dengan banyak cabaran seperti gelombang pandemik yang dipacu oleh subvarian baru yang lebih berjangkit, gangguan rantaian bekalan dan tekanan inflasi berasaskan luas.

Tekanan inflasi sudah menyebabkan kenaikan pada kadar faedah global sedang bank pusat mengetatkan dasar kewangan.
Sementara itu, pencerobohan Rusia di Ukraine - yang bermula pada Februari lalu - sudah memburukkan lagi ketidaktentuan mengenai geopolitik, harga barangan serta keselamatan makanan dan tenaga ketika ekonomi sejagat masih belum pulih sepenuhnya.

GIC menyatakan kepelbagaian portfolio dan pendirian pelaburannya yang bersikap lebih berhati-hati sudah membantu untuk melindungi prestasinya daripada pembetulan pasaran yang berlaku pada awal 2022.

"Pendirian itu dipegang sepanjang tahun kewangan 2021/22 memandangkan penilaian aset yang tinggi dan ketidaktentuan yang timbul daripada potensi tekanan inflasi," tulis laporan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif GIC Lim Chow Kiat berkata di sebuah sidang media bahawa GIC "terus memberikan pulangan yang baik dan stabil, lebih tinggi berbanding inflasi global".

Namun, beliau menarik perhatian bahawa persekitaran untuk para pelabur kini semakin mencabar.

Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC Jeffrey Jaensubhakij, yang juga hadir di sidang media itu, membentangkan tentangan lain.

Dalam jangka masa yang terdekat, dunia harus berdepan dengan pengetatan lanjut dasar kewangan oleh bank pusat untuk menangani inflasi yang kekal tinggi di samping gangguan bekalan dan rangsangan fiskal yang semakin lemah.

Cabaran dalam jangka masa panjang pula termasuk tahap hutang yang tinggi dalam ekonomi global, kelembapan demografi pembahagi di negara seperti China serta globalisasi yang semakin berkurangan.

Anjakan geopolitik, seperti struktur kuasa global yang bermasalah dan persaingan semakin sengit antara ekonomi-ekonomi utama juga akan menyumbang kepada keadaan persekitaran yang semakin tidak menentu.

Pada masa yang sama, trend utama seperti peralihan kepada rendah karbon dan kemajuan teknologi merupakan dua bidang yang akan memberikan kedua-dua risiko serta peluang.

KEPELBAGAIAN DALAM PORTFOLIO, MELABUR LEBIH DALAM ASET BERDAYA TAHAN INFLASI

GIC menyatakan ia akan menangani ketidaktentuan itu dengan memberikan lebih tekanan pada kepelbagaian portfolio, mengekalkan disiplin harga serta meneroka strategi alternatif.

Apabila ditanya tentang pendedahan GIC kepada mata wang kripto, Dr Jaensubhakij berkata GIC lebih tertarik kepada blockchain dan teknologi asas.

GIC sudah menjadi pelabur awal dalam firma-firma seperti perkhidmatan pertukaran kriptom Coinbasem dan platform kewangan aset digitalm Anchorage Digital.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita