Skip to main content

Kewangan

GIC S'pura bakal buka pejabat baru di Sydney pada 2022

GIC akan membuka sebuah pejabat baru di Sydney tahun depan bagi menumpukan kepada peluang pelaburan di Australia, umum syarikat dana pelaburan negara Singapura itu pada Isnin (31 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
GIC S'pura bakal buka pejabat baru di Sydney pada 2022

(Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 31 May 2021 11:12AM Dikemas Kini : 31 May 2021 11:13AM

SINGAPURA: GIC akan membuka sebuah pejabat baru di Sydney tahun depan bagi menumpukan kepada peluang pelaburan di Australia, umum syarikat dana pelaburan negara Singapura itu pada Isnin (31 Mei).

Ketua Pegawai Eksekutif GIC Lim Chow Kiat berkata dana itu yakin dengan pertumbuhan jangka panjang pasaran Australia dan percaya dengan mempunyai sebuah pasukan di sana, ia boleh meraih lebih banyak peluang pelaburan.

"Kami berbesar hati dengan portfolio sedia ada kami di Australia, terutamanya dalam bidang hartanah," kata Encik Lim.

"Kami percaya pejabat baru itu akan menyokong dengan lebih baik pengurusan aset sedia ada kami dan meningkatkan interaksi bersama rakan-rakan kongsi tempatan supaya kami boleh menjana lebih banyak manfaat bersama."

Pejabat itu nanti adalah pejabat ke-11 GIC di seluruh dunia. Selain Singapura, dana itu juga mempunyai pejabat di Beijing, London, Mumbai, New York, San Francisco, Sao Paulo, Seoul, Shanghai dan Tokyo.

Pembukaan pejabat di Sydney adalah bukti kepada pertumbuhan mantap portfolio GIC di Australia, menurutnya dalam satu kenyataan media.

Antara pelaburan utama GIC di Australia adalah Menara Chifley di Sydney serta Emporium dan Rialto di Melbourne.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, GIC menjalin usaha sama dengan pemaju hartanah perniagaan serta perindustrian ESR dan Dexus untuk memperoleh lebih banyak aset logistik sekali gus membina portfolio masing-masing bernilai lebih A$5 bilion (S$5.1 bilion) dan A$1.4 bilion (S$1.43 bilion).

Ia juga menjalin usaha sama bernilai A$3.6 bilion (S$3.68 bilion) dengan pengurus pelaburan NorthWest untuk memperolehi hospital dan bangunan pejabat perubatan di seluruh Australia.

GIC adalah anggota aktif dalam industri hartanah negara itu dan menyertai Majlis Hartanah Australia dan Jawatankuasa Pelaburan Global negara itu, tambahnya.

GIC menambah ia akan terus mencari secara aktif peluang pelaburan dalam pelbagai sektor dan bekerjasama dengan perniagaan yang berpotensi menjana pertumbuhan jangka panjang yang kukuh. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita