GIC akan beli aset logistik Jepun dari Blackstone bernilai AS$800 juta
Gambar fail: Ibu pejabat Blackstone Group di New York, AS, 18 Jan 2023. REUTERS/Jeenah Moon
TOKYO: Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC) Singapura berkata pada Jumaat (28 Apr) ia akan membeli portfolio enam aset logistik di Jepun dengan harga lebih AS$800 juta (S$1.06 bilion) daripada Blackstone Inc, mencerminkan minat yang kuat untuk hartanah logistik.
Urus niaga itu terdiri daripada bangunan gudang seluas 4 juta kaki persegi yang terletak di seluruh Jepun, dan merupakan perjanjian hartanah terbesar di Jepun tahun ini dari segi nilai, menurut data yang dikumpulkan oleh Refinitiv.
"Ia merupakan tambahan yang baik kepada portfolio kami di Jepun kerana kami terus menumpukan perhatian dalam sektor-sektor seperti hospitaliti dan logistik," kata timbalan ketua pegawai pelaburan untuk perniagaan hartanah GIC, Goh Chin Kiong, dalam satu kenyataan.
GIC, yang merupakan pelabur di Jepun sejak lebih tiga dekad lalu, baru-baru ini telah meningkatkan aktiviti perjanjiannya kerana kadar faedah negara itu yang kekal rendah. Tahun lalu, ia membeli aset berbentuk hotel dan pusat riadah daripada konglomerat kereta api dan hotel Jepun, Seibu Holdings.
Meskipun pasaran hartanah di seluruh dunia mengalami tekanan akibat kos pinjaman yang melambung tinggi, segmen logistik kekal tidak terjejas.
"Blackstone telah merombak portfolio (hartanah) sepanjang dekad ini," mengalihkan tumpuannya kepada logistik, pusat data dan hotel berbanding aset tradisional seperti pejabat, kata ketua perniagaan hartanah Blackstone di Jepun, Daisuke Kitta.
Blackstone menjual aset logistik yang dibelinya kira-kira dua tahun lalu daripada Daiwa House Industry Co. Pendapatan operasi bersih bagi aset itu, telah meningkat 35 peratus di bawah pengurusannya, kata Blackstone.
Firma A.S. itu berkata bulan ini ia telah menarik pelaburan sebanyak AS$30.4 bilion (S$40.6 bilion) untuk dana hartanah global terbarunya. Ia kini mempunyai modal pelabur bernilai AS$332 bilion (S$443 bilion) di bawah pengurusannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.