Gergasi teknologi Sea buka ibu pejabat kewangan digital baharu di SG
Syarikat teknologi Sea Limited pada Khamis (8 Mei) membuka ibu pejabat baharunya di Singapura untuk perniagaan khidmat kewangan digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Sea, Forrest Li, berucap semasa perasmian ibu pejabat kewangan digital Sea pada 8 Mei 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Syarikat itu menjalankan platform kewangan digital termasuk e-dompet, pemprosesan pembayaran dan perbankan. Sebelum ini dikenali sebagai SeaMoney, ia telah dijenamakan semula kepada Monee pada Khamis (8 Mai).
Pejabat di Rochester Commons, yang mengambil masa sekitar enam minit berjalan kaki dari Stesen MRT Buona Vista, ia setinggi 10 tingkat dan keluasannya lebih 200,000 kaki persegi, termasuk auditorium di tingkat sembilan bangunan itu.
Ibu pejabat itu pada mulanya akan menampung lebih 1,000 karyawan kewangan digital, tetapi ia mempunyai kapasiti untuk menampung sehingga 1,500 pekerja.
Ia juga dilengkapi dengan lebih 100 bilik mesyuarat dan "ruang inovasi produk", serta sebuah kafe dan gimnasium.
Terdapat juga pusat-pusat kecemerlangan dalam bidang pengurusan produk, kecerdasan buatan (AI) dan antipengubahan wang haram.
Sea diasaskan pada Mei 2009 oleh Encik Forrest Li, yang juga ketua eksekutif dan pengerusi syarikat itu.
Pada asalnya tertumpu kepada permainan online di bawah nama Garena, Sea kini turut mengendalikan platform e-dagang Shopee dan memiliki MariBank, salah satu daripada lima bank digital di Singapura.
"Kami memilih nama Monee kerana ia ringkas, molek, dan sama seperti Sea, mudah ditulis dan disebut," kata Encik Li.
"Dengan membawa bunyi yang sama seperti 'money', namanya serta-merta dikaitkan dengan perniagaan itu," katanya, sambil menambah bahawa Monee sentiasa berusaha untuk memperbaiki kehidupan pengguna dan perniagaan kecil dengan teknologi dalam bidang kewangan.
Nama itu juga "bergema" dengan jenama Shopee, menurut Sea.
Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng menghadiri majlis perasmian pejabat Monee, yang juga merupakan sambutan ulang tahun ke-16 Sea.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.