GDP S'pura diramal kuncup antara 4% hingga 7% akibat kesan COVID-19
Singapura sedang bersiap sedia menghadapi kemelesetan ekonomi yang paling buruk, dengan pihak berkuasa sekali lagi menurunkan ramalan pertumbuhan bagi 2020. Ini sedang ekonomi Singapura terjejas teruk oleh kesan pandemik COVID-19.
(Gambar: Marcus Mark Ramos)
SINGAPURA: Singapura sedang bersiap sedia menghadapi kemelesetan ekonomi yang paling buruk, dengan pihak berkuasa sekali lagi menurunkan ramalan pertumbuhan bagi 2020. Ini sedang ekonomi Singapura terjejas teruk oleh kesan pandemik COVID-19.
Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura dijangka menguncup antara 4 hingga 7 peratus tahun ini, berbanding antara 1 peratus hingga 4 peratus berdasarkan ramalan lalu, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Selasa (26 Mei).
Pakar-pakar ekonomi seperti Encik Saktiandi Supaat dari Maybank, terdahulu sudah menjangkakan GDP Singapura akan jatuh sehingga 7 peratus dek ekonomi sejagat suram yang pastinya akan menjejas ekonomi Singapura yang sangat terbuka.
Kali terakhir Singapura mengalami penguncupan sepanjang tahun adalah apabila banyak syarikat pemula gulung tikar pada 2001 di mana pertumbuhan ekonomi negara merosot sebanyak 1.1 peratus. Kemelesetan ekonomi yang paling buruk berlaku semasa Krisis Kewangan Asia pada 1998. Ekonomi negara merosot sebanyak 2.2 peratus ketika itu.
Ramalan pertumbuhan GDP yang diturunkan pada Selasa (26 Mei) adalah semakan ketiga oleh para penggubal dasar Singapura dalam tempoh kurang tiga bulan dan ia diumumkan selepas Penguasa Kewangan Singapura (MAS) memberi amaran pada bulan lalu mengenai kemerosotan lebih teruk daripada yang dijangkakan.
Menurut MTI, ramalan tersebut diturunkan selepas mengambil kira permintaan luar yang kian merosot dan kesan ekonomi akibat penguatkuasaan langkah "pemutus rantaian jangkitan COVID-19".
RAMALAN YANG LEBIH LEMAH
Dalam laporannya, MTI turut mendedahkan bahawa gangguan terhadap aktiviti ekonomi utama di seluruh dunia, seperti Amerika Syarikat dan China, adalah lebih teruk berbanding yang dijangkakan dua bulan lalu.
Terdapat juga persepsi yang membayangkan bahawa ruang dasar fiskal dan kewangan semakin mengecil dalam ekonomi-ekonomi besar, yang sekali gus boleh menjejas keyakinan pihak berkuasa untuk bertindak terhadap sebarang kejutan sehingga menjejas keberanian untuk mengambil risiko dan mengharungi pasaran kewangan yang serba tidak menentu.
Disebabkan itu, ramalan ekonomi Singapura semakin melemah sejak Mac.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.