Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Gangguan Internet: M1 beri rebat seminggu sekali sahaja bagi yuran bulanan jalur lebar pelanggan terjejas

Pengguna khidmat M1 yang terjejas oleh gangguan khidmat jalur lebar awal minggu ini akan diberi rebat seminggu bagi bil Jun mereka, umum penyedia khidmat telekomunikasi itu pada Khamis (14 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Gangguan Internet: M1 beri rebat seminggu sekali sahaja bagi yuran bulanan jalur lebar pelanggan terjejas

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 14 May 2020 06:59PM Dikemas Kini : 14 May 2020 07:01PM

SINGAPURA: Pengguna khidmat M1 yang terjejas oleh gangguan khidmat jalur lebar awal minggu ini akan diberi rebat seminggu bagi bil Jun mereka, umum penyedia khidmat telekomunikasi itu pada Khamis (14 Mei).

Ini setelah dua insiden berasingan berlaku pada Selasa dan Rabu yang menyaksikan khidmat Internet gentian jalur lebar M1 mengalami gangguan selama beberapa jam.

Menurut M1, gangguan pertama pada Selasa bermula sekitar 6.00 pagi. Ia menjejas sekumpulan pelanggan tertentu dan isu dapat dihuraikan semalaman bagi mengelakkan gangguan berskala besar semasa waktu sibuk.

Pada Rabu, sesetengah pengguna masih lagi mengadu mengalami gangguan perkhidmatan. Insiden itu tiada kaitan dengan kejadian sebelumnya yang berjaya diatasi pada 2.00 petang hari yang sama, jelas M1.

Gangguan berkenaan bukan disebabkan peralatan yang sudah usang, kurang keupayaan atau serangan siber, tekan M1.

"M1 faham pentingnya daya tahan serta kebolehpercayaan rangkaian terutama sedang lebih ramai orang bekerja dan belajar dari rumah semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan di Singapura," menurut syarikat telko itu dalam kenyataannya.

Oleh yang demikian, syarikat itu menyatakan ia akan menawarkan semua pengguna M1 yang terjejas rebat sekali sahaja selama satu minggu bagi yuran bulanan jalur lebar di rumah.

Untuk menuntut rebat itu, pengguna akan dihantar satu pautan sekali klik menerusi SMS dan emel mereka mulai Khamis.

"Kami meminta maaf sangat atas kesulitan disebabkan gangguan itu kepada pengguna kami dan berterima kasih kepada mereka kerana bersabar dan memahami keadaan," kata Ketua Pegawai Eksekutif M1 Manjot Singh Mann.

"Keutamaan kami sekarang adalah untuk memastikan kebolehpercayaan khidmat dan kami sedang mengambil langkah-langkah tambahan untuk mencegah insiden seumpama itu daripada berulang."

Pada Rabu, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) mengumumkan siasatan sudahpun dimulakan ke atas gangguan M1 itu.

Ia berikrar untuk mengambil "tindakan penguatkuasaan tegas" jika terdapat sebarang kegagalan di pihak syarikat berkenaan.

Encik Mann berkata M1 sedang "bekerjasama sepenuhnya" dengan IMDA bagi siasatan lanjut.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan