Gaji tahunan CEO SIA turun hampir 14% kepada S$7 juta meski catat keuntungan
Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Airlines (SIA) Goh Choon Phong menerima gaji tahunan S$7.01 juta bagi Tahun Kewangan (FY) terbaharu yang berakhir 31 Mac, menurut laporan tahunan syarikat penerbangan itu yang dikeluarkan pada Rabu (25 Jun).
Ketua pegawai eksekutif Singapore Airlines, Encik Goh Choon Phong di pelancaran produk A380. (Gambar: Tang See Kit)
Ini menandakan penurunan 13.5 peratus daripada pakej gaji S$8.11 juta yang dibawa pulang pada tahun sebelumnya.
Gaji tahunan Encik Goh bagi FY2024/25 terdiri daripada gaji asas S$1.46 juta, bonus S$3.12 juta, serta saham dan faedah berjumlah S$2.44 juta.
SIA melaporkan keuntungan bersih tahunan sebanyak S$2.78 bilion - yang mencecah paras rekod - untuk tahun kewangan tersebut, meningkat daripada S$2.68 bilion pada tahun sebelumnya.
Syarikat penerbangan itu mengaitkan peningkatan tersebut dengan keuntungan sekali sahaja kira-kira S$1.1 bilion daripada penggabungan Air India dan Vistara.
Keuntungan operasinya turun 37 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada S$1.71 bilion, sedang pendapatan penumpang - proksi untuk tambang penerbangan - turun 5.5 peratus disebabkan oleh persaingan sengit kerana syarikat-syarikat penerbangan menambah kapasiti masing-masing di peringkat global.
Sungguhpun demikian, SIA memberi ganjaran kepada pekerja yang layak melalui bonus perkongsian keuntungan sebanyak 7.45 bulan.
Ini rendah sedikit berbanding bonus perkongsian keuntungan bernilai sebanyak 7.94 bulan yang diberikan pada tahun sebelumnya, yang tertinggi dalam sejarah syarikat penerbangan itu.
Dalam suratnya kepada para pemegang saham, Pengerusi SIA Peter Seah berkata syarikat penerbangan itu telah menyampaikan "satu lagi prestasi mengagumkan" walaupun setahun ditandai dengan peningkatan ketegangan geopolitik, kekangan rantaian bekalan, inflasi dan landskap makroekonomi yang semakin tidak menentu akibat perang tarif global.
"Walaupun landskap penerbangan berkembang pesat, SIA Group berada dalam kedudukan yang kukuh untuk bukan sahaja mengharungi perubahan ini tetapi juga untuk membentuknya," tulis Encik Seah dalam laporan tahunan itu.
Saham SIA ditutup pada harga S$6.87, naik 0.3 peratus, untuk sesi dagang pada Rabu (25 Jun).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.