Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Gaji asas penyenggara landskap akan naik 6% secara purata setiap tahun

Dalam tahun-tahun mendatang, gaji asas pekerja penyenggaraan landskap akan dinaikkan antara S$100 dengan S$165 setiap tahun - kenaikan lebih tinggi berbanding yang dirancang sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Gaji asas penyenggara landskap akan naik 6% secara purata setiap tahun

Seorang peyenggara landskap bertugas di sebuah kawasan kondominium. (Gambar: Vanessa Lim)

Diterbitkan : 20 Aug 2021 02:14PM Dikemas Kini : 20 Aug 2021 02:22PM

SINGAPURA: Dalam tahun-tahun mendatang, gaji asas pekerja penyenggaraan landskap akan dinaikkan antara S$100 dengan S$165 setiap tahun - kenaikan lebih tinggi berbanding yang dirancang sebelum ini.

Kenaikan-kenaikan di bawah Model Gaji Progresif (PSM) itu bermakna gaji asas akan naik purata 6.3 peratus setiap tahun sepanjang enam tahun.

Ini lebih seganda berbanding kenaikan minimum tiga peratus setiap tahun yang diumumkan pada 2018 sebagai sebahagian daripada jadual kenaikan gaji sepanjang tempoh enam tahun, menurut Kelompok Perikatan Tiga Pihak Bagi Industri Landskap (TCL) pada Jumaat (20 Ogos).

Kenaikan gaji lebih tinggi itu, yang akan dilaksanakan antara 2023 dengan 2029 adalah antara saranan yang dibuat oleh TCL, menyusuli semakan ke atas PWM bagi sub-sektor penyenggaran landskap.

Saranan-saranan itu, yang juga termasuk mewujudkan peranan-peranan baru yang dikhaskan untuk menarik pekerja pelapis diterima Pemerintah.

Setakat 1 Januari 2021, 358 syarikat dalam sektor penyenggaran landskap sudahpun mengamalkan PWM, meliputi sekitar 3,000 pekerja penyenggaraan landskap sedia ada.

Jadual kenaikan gaji. (Gambar: TCL) 

KENAIKAN GAJI IKTIRAF PEKERJA

Dalam semakan terbaru itu, TCL memberi saranan memperkenalkan kenaikan lebih tinggi gaji asas bagi pekerja-pekerja di bawah PWM mulai 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2029.

Ia akan diteruskan daripada jadual kenaikan gaji enam tahun sebelum ini yang diperkenalkan pada 2020.

Menteri Kanan Negara, Kementerian Tenaga Manusia Zaqy Mohamad mengalu-alukan langkah tersebut sebagai salah satu cara menghargai sumbangan para pekerja berkenaan.

Beliau menambah bahawa kenaikan gaji itu menyokong tujuan kumpulan kerja perikatan tiga pihak tersebut dalam membantu "mempercepatkan lagi kenaikan gaji pekerja berpendapatan rendah berbanding pekerja bergaji sederhana" demi "merapatkan jurang antara mereka".

Jadual kenaikan gaji itu akan disemak lagi pada 2025.

MENARIK GENERASI MUDA, PERTAJAM KEMAHIRAN

Pada Januari tahun ini, pemerintah menerima saranan TCL untuk memperkenalkan laluan pakar dalam hala tuju kerjaya di bawah sektor tersebut untuk menarik para pekerja baru. Ini selepas pihak-pihak berkepentingan mendapati sukar untuk memancing minat bakat lebih muda.

Peranan-peranan baru dalam pekerjaan seperti pakar landskap dan pakar kanan landskap akan diwujudkan. Mulai 1 Julai 2023, para pelajar yang lulus dengan kelayakan sewajarnya boleh diletakkan di bawah laluan tersebut.

Selain itu, mulai 1 Julai 2023, kesemua pekerja PWM dikehendaki mengikuti dan menamatkan modul-modul latihan yang sama bagi memastikan semua pekerja baru menerima latihan mencukupi di setiap peringkat pekerjaan, menurut TCL.

NAIK TARAF PEKERJA BERGAJI RENDAH

Timbalan Setiausaha Agung NTUC Chee Hong Tat berkata: "Kami yakin pendekatan ini, di mana kami membangunkan satu ekosistem akan menjadi cara berkesan dan lebih mampan dalam menaik taraf pekerja bergaji rendah."

Encik Zainal Sapari, pengerusi TCL, menambah bahawa ia penting untuk mengiktiraf para pekerja itu "sebagai para karyawan dalam bidang masing-masing dan gaji mereka setimpal dengan kemahiran dan kecekapan mereka".

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan