Skip to main content

Kewangan

Firma SG peroleh pembiayaan hijau AS$1.37 bilion bagi kampus pusat data di Johor

Anggaran Waktu Membaca:
Firma SG peroleh pembiayaan hijau AS$1.37 bilion bagi kampus pusat data di Johor

Gambaran pelukis kampus pusat data ST Telemedia Global Data Centres (STT GDC) yang dicadangkan di Johor. (Gambar: ST Telemedia Global Data Centres)

Diterbitkan : 13 Aug 2026 11:35PM
  • STT GDC memperoleh pembiayaan hijau sehingga AS$1.37 bilion untuk membangunkan kampus pusat data utama di Johor, dengan sokongan bank-bank utama Malaysia.
  • Kampus ini akan menyediakan kapasiti sehingga 166 megawatt dan memenuhi keperluan digital seperti cloud, AI serta pengkomputeran berprestasi tinggi.
  • STT GDC turut melancarkan program pembangunan bakat bersama JTDC, Universiti Teknologi Malaysia dan EPI Group untuk melatih tenaga kerja mahir tempatan.
  • Inisiatif ini menekankan kemampanan, dengan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan pengurangan intensiti karbon, serta menyokong matlamat ekonomi digital Johor dan Malaysia.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Firma Singapura ST Telemedia Global Data Centres (STT GDC) memperoleh kemudahan pembiayaan hijau sehingga AS$1.37 bilion (S$1.75 bilion) bagi menyokong pembangunan kampus pusat data utamanya di Johor.

STT GDC ditubuhkan pada 2014 sebagai sebahagian daripada Singapore Technologies Telemedia (ST Telemedia), sebuah syarikat pelaburan strategik yang disokong Temasek Holdings.

Dalam kenyataannya, STT GDC menyatakan pelaburan itu turut mencerminkan komitmennya untuk membangunkan keupayaan tempatan, memperkukuh kerjasama industri dan menjalankan operasi secara bertanggungjawab sedang ia mengembangkan operasinya di Johor.

Pakej pembiayaan tersebut merangkumi kemudahan pinjaman hijau bagi fasa pertama kampus STT Johor di Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Iskandar Puteri.

United Overseas Bank (Malaysia) Bhd merupakan penyelaras tunggal dan pengatur utama yang diberi mandat bagi pembiayaan itu, bersama OCBC Bank (Malaysia) Bhd, Standard Chartered Bank Malaysia Bhd dan CIMB Bank Bhd.

Ketua Pegawai Kewangan (CFO) kumpulan STT GDC Nelson Lim berkata pembiayaan itu merupakan pencapaian penting dalam komitmen jangka panjang syarikat untuk melabur di Malaysia.

Menurut Encik Lim, ia turut mencerminkan keyakinan rakan perbankannya terhadap projek tersebut dan prospek jangka panjang sektor prasarana digital.

"Seiring peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan cloud, kecerdasan buatan (AI) dan beban kerja digital lain, modal yang berdisiplin dan bersifat jangka panjang amat penting untuk membangunkan prasarana yang berdaya tahan, mampan dan mampu memenuhi keperluan pelanggan," katanya.

Encik Lim berkata kemudahan itu juga mengukuhkan pendekatan STT GDC untuk menerapkan aspek kemampanan dalam pembiayaan, reka bentuk, pembinaan dan operasi pusat datanya.

KAPASITI SEHINGGA 166 MEGAWATT

Kampus STT Johor mempunyai kapasiti pembangunan terancang sehingga 166 megawatt beban teknologi maklumat.

Ia dibangunkan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang memerlukan prasarana digital berskala besar untuk pengkomputeran cloud, AI, pengkomputeran berprestasi tinggi dan beban kerja generasi baharu yang lain.

STT GDC menyatakan tahap keterhubungan Johor, akses kepada prasarana tenaga, tenaga kerja berkemahiran yang semakin berkembang serta kedudukannya berdekatan Singapura mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelaburan prasarana digital berskala besar.

Kampus tersebut juga dijangka menyokong matlamat Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura, termasuk meningkatkan kerjasama ekonomi rentas sempadan dan pembangunan Johor sebagai destinasi pelaburan bernilai tinggi.

Ketua STT GDC Malaysia Darryll Sinnappa berkata kampus itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat terhadap Malaysia serta keyakinannya terhadap Johor sebagai hab strategik prasarana digital.

"Kampus ini dibangunkan untuk memenuhi keperluan prasarana digital generasi akan datang, termasuk beban kerja pengkomputeran cloud, AI dan pengkomputeran berprestasi tinggi, selain menyumbang kepada aspirasi ekonomi digital Malaysia," katanya.

BANGUNKAN TENAGA KERJA BERKEMAHIRAN

Pada April 2026, STT GDC melancarkan inisiatif pembangunan bakat dan masyarakat di Johor dengan kerjasama Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), Universiti Teknologi Malaysia dan EPI Group.

Program itu merupakan kesinambungan memorandum persefahaman yang ditandatangani STT GDC dan majlis tersebut pada 2025 bagi membangunkan karyawan berkemahiran untuk industri pusat data di Johor dan rantau lain.

Menurut laporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terbaharu STT GDC, tenaga boleh diperbaharui menyumbang 83.2 peratus daripada penggunaan elektriknya pada 2025.

Syarikat itu turut mengurangkan intensiti karbon sebanyak 70.5 peratus berbanding garis dasar 2021, sekali gus mencapai sasaran 2028 tiga tahun lebih awal daripada jadual.

Purata keberkesanan penggunaan kuasa syarikat pula berada pada 1.44, meningkat 13 peratus berbanding garis dasar 2020, manakala keberkesanan penggunaan air bertambah baik sebanyak 41.2 peratus dalam tempoh sama.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita