Firma SG dijangka terjejas tarif 100% terhadap semikonduktor
Tindakan Amerika Syarikat untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas import semikonduktor berkemungkinan akan menjejaskan para pembuat cip di Singapura, dengan kesannya ke atas industri-industri seperti kejuruteraan jitu dan logistik, menurut para pakar ekonomi.
Cip semikonduktor dilihat pada papan litar bercetak dalam gambar ilustrasi yang dipetik pada 17 Feb 2023. (Gambar: Reuters)
Presiden Donald Trump pada Rabu (6 Ogos) berkata bahawa kadar tarif baharu akan dikenakan ke atas semua cip dan semikonduktor yang masuk ke negara itu, tetapi tidak akan dikenakan ke atas syarikat-syarikat yang telah membuat komitmen untuk menghasilkannya di Amerika atau sedang dalam proses untuk berbuat demikian.
Namun, mereka dalam industri tersebut mengatakan bahawa ia masih terlalu awal dan lebih banyak maklumat perlu dikeluarkan sebelum mereka boleh membuat sebarang keputusan perniagaan.
Persatuan Industri Semikonduktor Singapura (SSIA) menyatakan bahawa syarikat-syarikat sedia maklum mengenai pengumuman itu, tetapi memandangkan "panduan dasar yang terperinci" masih belum jelas, kebanyakannya masih menilai potensi kesannya terhadap industri tersebut.
“Sentimen umum adalah kewaspadaan yang berhati-hati, dengan kebimbangan tertumpu kepada gangguan terhadap rantaian bekalan, peningkatan kos, dan ketidakpastian pada aliran perdagangan global jika tarif dilaksanakan secara meluas,” kata pengarah eksekutif Ang Wee Seng, yang persatuannya mempunyai lebih 300 syarikat daripada industri itu.
Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong pada April lalu memberi amaran bahawa tarif tambahan ke atas sektor semikonduktor dan farmaseutikal - jika dikenakan oleh Amerika - boleh menjejaskan ekonomi global sekali lagi.
"Secara keseluruhannya, perkembangan ini telah menyebabkan ketidaktentuan yang ketara dan risiko berlaku kemelesetan pada ekonomi global. Dan kita mesti bersiap sedia menghadapi lebih banyak kejutan serta cabaran yang akan berlaku," katanya semasa sidang media oleh Pasukan Pasukan Bertindak Daya Tahan Ekonomi Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.