Firma hartanah jangka lebih banyak urus niaga dalam Fasa 2
Ejen-ejen hartanah sedang bersiap sedia untuk berurusan dengan lebih ramai pembeli rumah yang ingin meninjau-ninjau dan melihat sendiri bilik pameran dan flat jualan semula dalam Fasa 2 pembukaan semula Singapura selepas tamat tempoh 'circuit breaker'.
(Gambar: Melissa Goh)
SINGAPURA: Ejen-ejen hartanah sedang bersiap sedia untuk berurusan dengan lebih ramai pembeli rumah yang ingin meninjau-ninjau dan melihat sendiri bilik pameran dan flat jualan semula dalam Fasa 2 pembukaan semula Singapura selepas tamat tempoh 'circuit breaker'.
Para pembeli yang tidak berpeluang untuk berbuat demikian semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 terpaksa melakukannya secara online sepanjang tempoh tersebut.
Sejak Fasa 2 bermula pada Jumaat (19 Jun), Encik Benjamin Poh, pengarah divisyen ERA Realty Network, berkata pasukannya dengan seramai 20 ejen hartanah berjaya menjual lapan flat jualan semula pada hujung minggu lalu. Jumlah tersebut dua kali ganda lebih tinggi berbanding bilangan yang diuruskan pada hujung minggu sebelum wabak COVID-19 melanda Singapura.
Encik Poh memberitahu Mediacorp bahawa permintaan untuk meninjau-ninjau dan melihat sendiri flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) adalah lebih tinggi kerana para pembeli mahu memeriksa keadaan flat.
"Apabila sesebuah hartanah ditawarkan, pasti ramai yang ingin melihatnya," kata beliau sambil menambah bahawa bagi flat-flat jualan semula, para pembeli bimbang tentang isu-isu seperti kebocoran air yang biasanya tidak dapat dikesan melalui rakaman video.
Strateginya pada hujung minggu melibatkan kerja-kerja menyediakan seberapa banyak mungkin sesi meninjau-ninjau flat jualan semula pada Sabtu dan Ahad - 14 sesi setiap hari - dengan bakal pembeli diberikan tempoh 30 minit untuk berbuat demikian.
Menurut pengarah urusan Savills Residential Projects Sales & Associates, Encik George Tan, permintaan pasca 'circuit breaker' begitu banyak sekali.
"Kami menerima banyak permintaan untuk meninjau-ninjau hartanah memandangkan ramai bakal pembeli tidak dapat berbuat demikian semasa tempoh circuit breaker," menurut beliau lagi. "Ramai klien sudah berbuat demikian melalui wadah Zoom. Tetapi ia tidak sama jika dibandingkan dengan meninjau-ninjau dan melihat sendiri flat dan hartanah yang ditawarkan."
Ramai ejen hartanah ERA Realty Network turut menyaksikan permintaan yang tinggi bagi sesi janji temu pada minggu pertama Fasa 2. Menurut pegawai eksekutif utama firma tersebut, Eugene Lim, para pembeli dan penyewa yang sudah meninjau-ninjau hartanah melalui sesi maya kini mahu melihat sendiri hartanah yang ditawarkan.
"Mereka ingin melihat sendiri bagi memastikan sesebuah hartanah memenuhi gaya hidup dan keperluan masing-masing. Mereka benar-benar berminat dan kami memandang serius terhadap permintaan sedemikian kerana ia menunjukkan bahawa mereka sudah bersedia untuk membelinya," kata Encik Lim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.