Skip to main content

Kewangan

Firma gajikan pekerja hijrahan mesti bayar gaji bulanan minimum S$1,400 kepada pekerja tempatan

Syarikat-syarikat yang menggajikan para pekerja hijrahan dikehendaki membayar gaji kelayakan sekurang-kurangnya S$1,400 sebulan kepada pekerja rakyat Singapura, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Anggaran Waktu Membaca:
Firma gajikan pekerja hijrahan mesti bayar gaji bulanan minimum S$1,400 kepada pekerja tempatan

(Gambar fail: Raj Nadarajan dan Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 29 Aug 2021 10:51PM Dikemas Kini : 29 Aug 2021 10:56PM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat yang menggajikan para pekerja hijrahan dikehendaki membayar gaji kelayakan sekurang-kurangnya S$1,400 sebulan kepada pekerja rakyat Singapura, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Ini untuk membantu meningkatkan pendapatan pekerja bergaji rendah dalam jangka panjang, menurut PM Lee semasa menyampaikan ucapannya sempena Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (29 Ogos).

PM Lee berkata, beliau prihatin terhadap para pekerja penghantaran, disebabkan oleh tekanan dan ketidaktentuan yang dihadapi oleh golongan pekerja itu, di samping kekurangan perlindungan asas. Lantaran itu, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan meneliti perkara tersebut.

Menurut PM Lee, secara amnya para pekerja bergaji rendah "berada dalam kedudukan yang memprihatinkan" semasa pandemik COVID-19.

Pekerjaan dan mata pencarian mereka juga kurang terjamin dan mereka juga berkemungkinan hilang pekerjaan mereka. Tambahnya lagi, mereka juga tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk mengharungi masa-masa sukar.

"Itulah sebabnya mengapa setiap Belanjawan COVID-19, kami menghulurkan bantuan tambahan kepada keluarga bergaji rendah."

Selain bantuan kecemasan, para pekerja berpendapatan rendah juga memerlukan sokongan jangka panjang.

Sebagai contoh, Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja membantu menokok gaji para pekerja berpendapatan rendah dalam bentuk wang tunai dan sumbangan kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Menurut PM Lee, skim yang menelan belanja S$850 juta setahun itu memanfaatkan hampir setengah juta pekerja.

Dalam tempoh dua tahun, ia akan dinaikkan kepada S$1.1 bilion setiap tahun. Langkah itu akan membolehkan pihak berkuasa untuk meningkatkan bayaran kepada semua penerima Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja dan juga menurunkan usia kelayakan dari 35 tahun kepada 30 tahun untuk memanfaatkan skim itu.

Selain itu, terdapat tiga saranan yang dibentangkan oleh kumpulan kerja perikatan tiga pihak yang terdiri daripada pihak kesatuan, para majikan dan pemerintah yang akan menimbangkan untuk menaikkan gaji dan kesejahteraan para pekerja bergaji rendah, yang dipengerusikan oleh Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamed.

Satu saranan yang diusulkan, yang sudahpun diterima Pemerintah, adalah gaji kelayakan yang akan diperluaskan kepada semua pekerja rakyat Singapura yang bekerja dengan syarikat-syarikat yang menggajikan para pekerja hijrahan.

Gaji kelayakan itu diperkenalkan untuk memastikan para pekerja tempatan diberikan gaji yang setimpal dan bermakna setelah mengambil kira kuota pekerja hijrahan.

Ia menetapkan kuota yang diberikan kepada para majikan Singapura apabila sesebuah syarikat memohon permit kerja dan Pas S bagi para pekerja hijrahan. Hanya apabila para pekerja rakyat Singapura memenuhi gaji kelayakan S$1,400 barulah syarikat itu boleh menggajikan lebih ramai pekerja hijrahan.

Buat masa ini, firma-firma perlu membayar gaji kelayakan kepada sesetengah pekerja rakyat Singapura, bergantung kepada jumlah pekerja hijrahan yang digajikan.

"Kita akan mengetatkannya bagi mewajibkan syarikat-syarikat membayar gaji kelayakan kepada para pekerja tempatan sekiranya para majikan mahu menggajikan lebih ramai pekerja hijrahan," menurut PM Lee di Rapat Umum Hari Kebangsaan malam ini.

"Dan gaji kelayakan bagi pekerja tempatan juga akan disesuaikan dari semasa ke semasa."

LAPORAN BERKAITAN:

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita