Skip to main content

Kewangan

Firefly sambung semula penerbangan ke S'pura mulai 21 Apr

Syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia, Firefly, akan menyambung semula penerbangannya ke Singapura pada 21 April dengan beroperasi dari Lapangan Terbang Seletar.

Anggaran Waktu Membaca:
Firefly sambung semula penerbangan ke S'pura mulai 21 Apr

Gambar fail pesawat Firefly.

Diterbitkan : 08 Apr 2019 11:00PM Dikemas Kini : 08 Apr 2019 11:02PM

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia, Firefly, akan menyambung semula penerbangannya ke Singapura pada 21 April dengan beroperasi dari Lapangan Terbang Seletar.

Demikian kata Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke pada Isnin (8 Apr).

Sementara itu, satu lagi syarikat penerbangan Malaysia - Malindo Air juga menyuarakan minat untuk melakukan penerbangan ke Lapangan Terbang Seletar dan sudah berurusan dengan pihak berkuasa lapangan terbang tersebut di Singapura untuk mendapatkan kelulusan, kata Encik Loke.

Pengumuman tersebut dibuat semasa Singapura dan Malaysia pada hari ini bersetuju untuk bekerjasama dalam membangunkan prosedur pendekatan alatan berdasarkan GPS untuk Lapangan Terbang Seletar, menggantikan Sistem Pendaratan Alatan (ILS) yang digantung baru-baru ini.

Berucap di sidang media bersama dengan Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan, Encik Loke turut melahirkan harapan agar lebih banyak ketersambungan udara antara kedua-dua negara pada masa hadapan.

Encik Khaw pula berkata: "Kedua-dua Menteri Loke dan saya sendiri mengalu-alukan permulaan khidmat Firefly di Lapangan Terbang Seletar."

Firefly menggantung penerbangan-penerbangannya ke Singapura pada Disember tahun lalu setelah ia gagal mendapatkan kelulusan daripada pengawal selia penerbangan Malaysia untuk memindahkan operasinya dari Lapangan Terbang Changi ke Lapangan Terbang Seletar.

Sebelum ini, Changi Airport Group (CAG) mengumumkan langkah untuk memindahkan pesawat kipas turbo itu ke Seletar bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber di Changi.

Sebelum penggantungan itu, Firefly menawarkan 20 penerbangan harian antara Singapura dengan Subang, Ipoh dan Kuantan.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita