Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Fatimah Mohsin perluas niaga, buka restoran makanan halal Thai pula berkonsep resort

Usahawan tempatan Fatimah Mohsin kini bergelar ‘tauke’ restoran. Ini setelah beliau meluaskan perniagaannya ke bidang F&B pula

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Usahawan tempatan Fatimah Mohsin kini bergelar ‘tauke’ restoran. Ini setelah beliau meluaskan perniagaannya ke bidang F&B pula. Perniagaan terbaru Fatimah itu akan mula dibuka kepada umum pada Isnin depan (7 Dis).

Restoran milik pereka fesyen Singapura itu diberi nama "555 Halal Thai" dan merupakan perniagaan utama ketiga ditubuhkannya sejak bergelar usahawan 22 tahun lalu. Restoran itu ditubuhkan secara bersama oleh Fatimah dan suaminya, Shahary Ahmad.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Lagi dua perniagaan yang sinonim dengan nama Fatimah Mohsin adalah andaman (Fatimah Mohsin The Wedding Gallery) dan rekaan hiasan dalaman (Propupstore).

KENAPA PILIH NAMA '555 HALAL THAI'?

Ya, nama restoran tersebut agak luar biasa. Kenapa 555? Jadi BERITAmediacorp bertanya kepada Fatimah kenapa nama 555 itu dipilih sebagai jenama.

Menjawab, Fatimah menjelaskan bahawa setiap nombor '5' itu sepatutnya disebut sebagai 'ha'. Ia adalah istilah dalam bahasa Thailand. Maka, 555 berbunyi seperti ketawa 'ha ha ha'. Ini, menurut Fatimah, memberikan gambaran suasana yang akan membuatkan hati para pengunjung berasa gembira untuk bersantai di restoran makanan Thai itu.

BERITAmediacorp turut diundang ke restoran itu pada Selasa (1 Dis) untuk meninjau-ninjau dan mencuba beberapa hidangan yang ditawarkannya.

‘STEAMBOAT’ KAI-KATA, SET ‘UFO’, ‘PUSHCART’

Terdapat lebih 50 hidangan Thai untuk dicuba di restoran ini. Antara hidangan yang ditawarkan termasuklah Tom Yam, Salada Mangga, Gong Gong Rebus dan juga ‘steamboat’ Thai, iaitu Kai-kata dan set ‘UFO.

(Gambar: Firdaus Suhaimi)

(Gambar: Firdaus Suhaimi)

"Mula-mula kami pertimbangkan antara makanan Indonesia atau Thailand. Kalau Indonesia itu, macam kedai saya di Arab Street, banyak sangat nasi padang, nasi Indonesia semua. Thailand ada tapi (jarang) yang Muslim food yang betul-betul asli. Kita pun ada dia punya Kai-Kata. Ia amat menarik lebih-lebih lagi dengan suasana makan di luar seperti ini," Fatimah memberitahu BERITAmediacorp.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Selain itu, Fatimah turut 'berkongsi rezeki' dengan menyewakan sebanyak lapan 'pushcart' di restoran itu. Ini bermakna lebih banyak pilihan untuk para pelanggan beliau. Ini termasuk apam balik, sate, pisang keju, burger dan pelbagai pencuci mulut lain.

"Kita tak bimbang bila kita ada banyak 'pushcart' ini mungkin penjualan makanan kita terjejas. Memandangkan tempat duduk kita ada dalam 200 kerusi. Ini semua kita berbahagi rezeki.

"Kalau kita nak buat semua, berapa puluh cef saya nak ada di dapur kan? Dengan berkongsi, (perniagaan) mereka berkembang, kita ramai-ramai pun akan lebih maju dan berkembang," kata peniaga berusia 45 tahun itu kepada kami.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

RESTORAN ALA RESORT UNIK YANG JAUH DARI HIRUK PIKUK BANDAR

Restoran 555 Halal Thai itu terletak di kawasan yang cukup unik - menghijau dan di kelilingi alam sekitar. Iaitu di Gallop Kranji Farm Resort. Sebahagian kita mungkin akan menyifatkannya sebagai kawasan tempat 'jin bertendang'.

Semasa perjalanan ke sana, memang dapat dirasakan seolah-olah kita bukan lagi berada di bandar metropolitan Singapura. Manakan tidak, tempatnya jauh di hujung tanjung. Laluan masuk ke sana pula sebatang jalan yang panjang menjalar seperti tidak berpenghujung.

Namun, pemandangan langit dan laut biru berada di kiri dan kanan jalan, ditambah lagi dengan sekitaran menghijau menyuntik rasa ghairah seakan sedang bercuti di desa.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Bagi anda yang rindu untuk bercuti luar negara, mungkin inilah destinasi yang boleh diterokai bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Ia laluan memandu yang indah. Bila perjalanan ke sini kalau kita masuk daripada Kranji perasaan dia lain, kalau kita masuk daripada Lim Chu Kang perasaan dia lain. Jadi ia amat menarik,” kata Fatimah.

Beliau menambah, konsep restoran itu membawa pengunjung ke kawasan ‘pendalaman’ jauh dari hiruk pikuk bandar. Ini membolehkan mereka menjamu selera dalam suasana tenang dan selesa bersama keluarga dan rakan-rakan.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Sekali sekala kedengaran pula lengkingan suara nyaring burung-burung kakak tua yang terbang bebas mengelilingi restoran itu. Kanak-kanak juga boleh berseronok bermain dengan arnab dan memberi makan ayam di reban di belakang restoran.

“Suasana dia macam di kampung. Macam (sekarang) ini, bunyi burung, cengkerik kalau (waktu) malam. Bau-bau dia (di sini) sangat unik. Tak rasa seperti di bandar. Jadi saya rasa itu yang membuat saya tertarik buka restoran di sini,” kata Encik Shahary, merujuk kepada bunyi-bunyian burung kakak tua pada waktu itu. Beliau memainkan peranan sebagai pengurus operasi di 555 Halal Thai.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

GABUNG IDEA RESTORAN, ANDAMAN

Kami musykil, bagaimana Fatimah Mohsin, yang cukup dikenali sebagai ‘mak andam’ dan juga pereka fesyen pengantin, boleh tersangkut dengan perniagaan makanan dan minuman pula?

Fatimah memberitahu BERITAmediacorp, beliau yang sudah biasa sibuk dengan kerjaya andaman dan rekaan hiasan dalam itu berasa agak terjejas dek COVID-19. Maka itu, beliau dan suaminya memikirkan alternatif.

“Kita berdua pun ambil kursus kebersihan makanan. Pasal kononnya kalau berniaga itu tak berapa bagus, andaman pun tak ‘pick up’, kita nak jadi perniagaan dari rumah. If you cant beat them join them (jika tak boleh lawan mereka, kita ikut mereka). Tapi Alhamdulillah saya rasa kita lebih berani untuk ke tengah, keluar untuk tunjukkan minat dan kepakaran kita,” terang Fatimah Mohsin.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Maka, lahirlah sebuah restoran makanan halal Thai ala resort yang sebahagian tapaknya boleh digunakan untuk menganjurkan majlis ‘intim’ perkahwinan. Restoran 555 Halal Thai itu, yang seluas 30,000 kaki persegi, kata Fatimah, boleh memuatkan 500 orang. Namun dengan peraturan jarak selamat, ia boleh memuatkan sekitar 200 orang sahaja.

“Saya rasa dalam jangka panjang pun kita tak akan dapat majlis perkahwinan seperti dahulu. Jadi inisiatif ini saya nak adakan lokasi majlis perkahwinan seperti ini kerana ramai pelanggan saya yang suka majlis perkahwinan yang diadakan di luar,” kata Fatimah, sambil menambah bahawa bahagian dalam restorannya itu boleh memuatkan 100 jemputan.

(Gambar: Firdaus Suhaimi)

(Gambar: Firdaus Suhaimi)

REBUT PELUANG SEKARANG

Fatimah percaya, keadaan ekonomi tidak menentu ini adalah masa terbaik untuk mempelbagaikan perniagaan beliau. Nasihat Fatimah kepada para peniaga lain - cari dan rebutlah peluang kerana “saat-saat ini bukan untuk kita berputus asa”.

“Yang penting kita nak kena berusaha. Sekarang kita ceburi sesuatu. Kalau kita rasa oh kita nak putus asa sekarang, nanti besok, kalau tahun depan perniagaan dah bagus kita nak ceburi mungkin sewa tempat dua tiga kali ganda.

“Mungkin apa-apa gaji jadi lebih mahal. Jadi mungkin buat masa sekarang ikat sikit perut sana sini. Kita cuba belajar untuk bertahan. Mulakan dengan positiviti,” ujar Fatimah.

Fatimah Mohsin dan suaminya, Shahary Ahmad di restoran mereka. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

RANCANG ADAKAN PASAR LAMBAK

Lantaran itu, Fatimah dan suami beliau malah merancang untuk terus mengembangkan perniagaan baru mereka ini dengan mewujudkan lebih banyak peluang dan kerjasama selepas Fasa 3 pembukaan semula Singapura dimulakan kelak.

“Bila suasana dah bagus, barangkali kita akan adakan pasar lambak di sini, acara korporat juga boleh diadakan di sini. Kita (mungkin) akan adakan jualan ‘car boot’ juga,” kata Encik Shahary.

“Kita sudah ada rencana untuk berkolaborasi dengan banyak pertubuhan perdagangan atau penganjur acara perdagangan, syarikat penganjur acara untuk menyasarkan lebih banyak acara korporat juga. Perniagaan itu luas sangat lah,” tambah Fatimah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan