FAST rancang sedia hab lebih besar bagi pekerja asing berkumpul
Pertubuhan tidak meraih untung FAST, yang membantu amah asing di negara ini akan menyediakan sebuah hab yang lebih besar bagi menampung kumpulan pekerja itu semasa hari cuti mereka.
SINGAPURA: Pertubuhan tidak meraih untung FAST, yang membantu amah asing di negara ini akan menyediakan sebuah hab yang lebih besar bagi menampung kumpulan pekerja itu semasa hari cuti mereka.
Ia menyusuli kemalangan maut di Lucky Plaza seminggu lalu yang meragut nyawa dua pembantu rumah warga Filipina dan mencederakan empat yang lain.
Lazimnya laluan di Orchard Road padat dengan pekerja asing setiap hari Ahad.
Namun hari ini (5 Jan) keadaannya jauh berbeza terutama sekali di tempat nahas itu berlaku.
Pagar besi yang dirempuh kereta dalam kemalangan itu masih belum diperbaiki.
Ia diganti dengan hadangan-hadangan sementara.
Beberapa tempat berdekatan juga masih dikepung.
Namun perbezaan besar yang jelas kelihatan hari ini berbanding hari-hari Ahad sebelumnya adalah tiada orang dilihat duduk di tepi jalan raya di luar Lucky Plaza.
Sebaliknya ramai yang datang ke tempat ini membawa bunga, kad dan lilin bagi memperingati mangsa-mangsa kemalangan tersebut.
Mereka yang ditemui juga berkata nahas itu menjadi pengajaran kepada mereka tentang bahayanya berkumpul di laluan-laluan pejalan kaki.
Namun, masih ada juga para pekerja asing yang berkelah di seberang jalan di Nutmeg Road.
Para pakar berkata ia menggambarkan kurangnya tempat awam yang selamat untuk bertemu satu sama lain pada hari cuti mereka.
Lantaran itu sebuah pertubuhan yang tidak mengaup untung, FAST merancang menyediakan sebuah hab lebih besar untuk para pekerja asing berkumpul menjelang enam bulan kedua tahun ini.
Hab itu juga akan menyediakan pelbagai khidmat di bawah satu bumbung seperti mengirim wang, perubatan dan kedai.
Dalam pada itu, mereka yang menyaksikan sendiri kemalangan yang mengerikan itu atau mengenali mangsanya boleh mengalami trauma.
FAST menyatakan ia menyediakan khidmat kaunseling bagi mereka yang terjejas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.