Farmasi catat lebih ramai pelanggan pada hari pertama kit uji sendiri COVID-19 dijual
Farmasi-farmasi di Singapura menyaksikan lebih ramai pelanggan pada Rabu (16 Jun), hari pertama kit ujian pantas antigen (ART) COVID-19 dijual.
Cawangan Guardian di Bedok Mall. (Gambar: Vanessa Lim)
SINGAPURA: Farmasi-farmasi di Singapura menyaksikan lebih ramai pelanggan pada Rabu (16 Jun), hari pertama kit ujian pantas antigen (ART) COVID-19 dijual.
Di cawangan Guardian di Bedok Mall, dalam tempoh lima minit selepas kedai dibuka pada 10.00 pagi, beberapa pelanggan sudahpun membeli kit ujian mereka, kata seorang ahli farmasi kepada Mediacorp.
Cawangan Watsons di Heartbeat@Bedok juga menyaksikan jumlah agak ramai pelanggan masuk kedai untuk menyanyakan tentang kit-kit berkenaan sebaik saja ia dibuka, menurut pengarah pelanggan syarikat, Cik See Seow Ying.
Kit uji sendiri itu kini dijual di 156 cawangan Unity, Watsons dan Guardian terpilih merata Singapura pada harga antara S$10 hingga S$13.10 bergantung kepada jenis dan saiz kit yang dijual.
Buat masa ini, hanya empat kit diluluskan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk dijual kepada orang awam: The Abbott PanBio COVID-19 Antigen Self-test, QuickVue At-Home OTC COVID-19 Test, SD Biosensor SARS-CoV-2 Antigen Self-Test Nasal, dan SD Biosensor Standard Q COVID-19 Ag Home Test.
Kit ujian itu mengesan koronavirus dengan mengenal pasti zat-zat virus itu dalam badan dan biasanya paling berkesan pada peringkat awal jangkitan.Keputusannya boleh diperolehi dalam masa kurang 20 minit.
Ini berbanding ujian-ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) yang boleh mengambil masa sehingga 48 jam kerana sampell harus dihantar ke makmal untuk diuji.
Meskipun kebanyakan pelanggan membeli hanya dua atau tiga kit ujian, Cik See memberitahu Mediacorp bahawa beliau nampak sesetengah pelangggan yang membeli 10 kit ujian, iaitu jumlah maksimum dibenarkan di bawah garis panduan Kementerian Kesihatan (MOH).
"Kami menasihatkan pelanggan agar hanya membeli jumlah yang mereka perlukan dan tidak perlu keterlaluan menambah bekalan di rumah kerana kami mempunyai stok mencukupi untuk semua orang," kata beliau.
Namun, pelanggan seperti Encik Tan Yong Teck yang ditemui di cawangan Bedok Mall berkata dengan adanya bekalan kit ujian di rumah ia lebih mudah untuk beliau sekeluarga.
"Hidung kami semua sensitif jadi kadangkala kami tidak tahu membezakan sama ada ia hidung sensitif atau gejala COVID-19," kata pengurus IT, 41 tahun itu.
CEPAT, MUDAH TAPI KURANG TEPAT?
Dr Alvina Nam, seorang doktor di Clinic@Costa berkata kit DIY itu boleh membantu mengesan kes yang sebelum ini mungkin tidak dikesan dengan mata kasar.
Namun, kit ujian ART itu juga ada kekurangannya dan boleh menunjukkan hasil negatif palsu, kata beliau.
Dengan kadar sensitif sekitar 80 peratus bagi kes kandungan zat virus lebih tinggi, ujian ART biasanya kurang tepat berbanding ujian PCR yang sebaliknya mengesan bahan genetik virus lantas dianggap "piawaian emas" bagi ujian COVID-19.
Ini bermakna para pengguna dengan kandungan virus lebih rendah dalam badan mungkin tidak dapat dikesan. Demikian juga jika seseorang itu tidak mengumpul sampel rongga hidung yang mencukupi, ia boleh menyebabkan hasil negatif palsu.
LEBIH TENANG DENGAN ADANYA KIT UJIAN
Meskipun terdapat kekurangan, para doktor bersetuju bahawa ujian itu boleh meluaskan lagi pilihan dan memberi orang ramai rasa tenang.
"Mereka yang mungkin tidak boleh ke klinik seperti warga emas atau mereka yang tidak boleh bergerak, boleh saja membuat ujian di rumah," kata Dr David Tay dari The Medical Clinic.
Klinik Keluarga CCK yang mengendalikan sekitar 150 hingga 200 ujian COVID seminggu mengenakan bayaran sekitar S$180 untuk ujian PCR.
"Kini, dengan adanya kit uji sendiri ini, ia lebih mudah dan murah bagi orang ramai," kata Dr Alex Kuan dari klinik tersebut.
LAPORAN BERKAITAN: Kit ujian COVID-19 DIY - mudah dilakukan sendiri?
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.