Skip to main content

Kewangan

Facebook perketat akses penstriman video susuli serangan masjid Christchurch

Facebook mendedahkan pada Jumaat (29 Mac) bahawa ia sedang memperketatkan peraturan penstriman video di platformnya, sebagai respons kepada khidmat itu yang digunakan untuk menyiarkan secara langsung serangan pengganas di dua masjid di New Zealand.

Anggaran Waktu Membaca:
Facebook perketat akses penstriman video susuli serangan masjid Christchurch

(Gambar: Jorge Silva/Reuters)

Diterbitkan : 30 Mar 2019 11:00AM Dikemas Kini : 30 Mar 2019 12:04PM

SAN FRANCISCO: Facebook mendedahkan pada Jumaat (29 Mac) bahawa ia sedang memperketatkan peraturan penstriman video di platformnya, sebagai respons kepada khidmat itu yang digunakan untuk menyiarkan secara langsung serangan pengganas di dua masjid di New Zealand.

Serangan di bandar Christchurch itu, yang dilancarkan oleh seorang penyokong tegar kuasa kulit putih yang menembak para jemaah di dua masjid, meragut nyawa seramai 50 orang.

Ramai yang "mempersoalkan bagaimana wadah-wadah online seperti Facebook boleh digunakan untuk menyebar rakaman video serangan kejam itu," kata ketua pegawai operasi Facebook, Sheryl Sandberg, dalam satu catatan online.

"Menyusuli serangan pengganas itu, kami akan melaksanakan tiga langkah: iaitu memperketatkan peraturan-peraturan bagi menggunakan Facebook Live, serta mengambil langkah-langkah selanjutnya untuk menangani kebencian di wadah-wadah kami, dan memberi sokongan kepada masyarakat New Zealand," katanya lagi.

Cik Sandberg berkata Facebook sedang mempertimbangkan untuk menghalang para pengguna yang pernah melanggar piawai masyarakat syarikat rangkaian sosial itu daripada menggunakan khidmat tersebut di lamannya.

Facebook juga sedang membuat pelaburan untuk meningkatkan sofwenya supaya berupaya untuk mengenal pasti versi video atau gambar keganasan yang diubah suai, bagi mencegah video dan gambar tersebut daripada dikongsi.

Selain itu, syarikat rangkaian sosial itu juga akan memanfaatkan peralatan kecerdasan buatan bagi mengenal pasti dan memadamkan akaun kumpulan-kumpulan penyebar kebencian di Australia dan New Zealand, kata Cik Sandberg.

Beliau menambah, kumpulan-kumpulan berkenaan akan diharamkan daripada menggunakan khidmat Facebook.

Pada minggu ini, Facebook mengumumkan bahawa ia akan melarang kandungan yang mengagung-agungkan atau menyokong gerakan kuasa kulit putih dan fahaman pemisah kulit putih - sebagai sebahagian daripada usahanya untuk meningkatkan tindakan keras terhadap ucapan yang menyebarkan kebencian.

Larangan itu akan dikuatkuasakan pada minggu depan dan dilaksanakan ke atas aplikasi Facebook dan Instagram.

"Kami komited untuk memperkukuhkan dasar-dasar kami, meningkatkan teknologi dan bekerjasama dengan para pakar untuk menjadikan Facebook lebih selamat," kata Cik Sandberg.

Pada minggu lalu, syarikat itu menyatakan ia memadamkan 1.5 juta video di merata dunia berhubung serangan masjid di New Zealand dalam tempoh 24 jam pertama selepas serangan itu dilancarkan.

Sumber : Reuters/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita