Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Facebook henti sistem kenal pasti wajah ekoran kebimbangan privasi

Gergasi media sosial yang sedang dibelenggu skandal, Facebook, akan menghentikan sistem pengenal pasti wajah yang sekian lama dikritik dan akan memadam data imbasan ke atas satu bilion orang, dedah syarikat itu pada Selasa (2 Nov) dalam satu respons mengejutkan terhadap kebimbangan privasi.

Anggaran Waktu Membaca:
Facebook henti sistem kenal pasti wajah ekoran kebimbangan privasi

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 03 Nov 2021 04:42PM Dikemas Kini : 03 Nov 2021 04:44PM

SAN FRANCISCO: Gergasi media sosial yang sedang dibelenggu skandal, Facebook, akan menghentikan sistem pengenal pasti wajah yang sekian lama dikritik dan akan memadam data imbasan ke atas satu bilion orang, dedah syarikat itu pada Selasa (2 Nov) dalam satu respons mengejutkan terhadap kebimbangan privasi.

Pengumuman itu dibuat sedang ia mengharungi antara krisis yang paling teruk pernah dihadapi, dengan dokumen-dokumen dibocorkan kepada para wartawan, penggubal dasar dan pengawal selia Amerika Syarikat sekali gus mencetuskan gesaan baru bagi pengawasan pemerintah.

Perubahan dasar itu menghentikan ciri yang secara automatik mengenal pasti individu yang muncul dalam gambar digital pengguna Facebook dan ciri yang juga kunci kepada usaha syarikat tersebut untuk membangunkan koleksi sejagat wajah-wajah, iaitu ciri yang mengundang kontroversi.

"Perubahan ini menunjukkan salah satu peralihan terbesar dalam penggunaan sistem pengenal pasti wajah dalam sejarah teknologi," tulis Encik Jerome Pesenti, naib presiden kecerdasan buatan di syarikat induk Facebook, Meta.

"Terdapat banyak kebimbangan berkaitan peranan teknologi pengenal pasti wajah dalam masyarakat dan pengawal selia masih dalam proses membangunkan peraturan-peraturan jelas yang mengawal penggunaannya," tambahnya.

Encik Pesenti bagaimanapun tidak menjelaskan secara langsung mengapa perubahan itu diumumkan sedang syarikat itu bergelut dengan laporan-laporan berdasarkan dokumen-dokumen bocor yang mendakwa bahawa eksekutif syarikat tersebut tahu wadah itu boleh membawa mudarat.

Langkah menghentikan sistem itu "akan menyebabkan templat yang mengenal pasti wajah lebih satu bilion individu dipadam," tulisnya, sambil menambah ia akan dilaksanakan dalam beberapa minggu akan datang.

Para penyokong privasi mengalu-alukan berita itu, tetapi ada yang bimbang ia sekadar usaha memperbaiki imej syarikat tersebut di tengah-tengah krisis perhubungan awamnya baru-baru ini.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan