Eye on Asia bantu rakyat S'pura intai peluang kerja, belajar di Asia
Singapura berpotensi untuk terus berkembang, sedang ia memperkukuh hubungannya dengan negara-negara lain di rantau ini.
SINGAPURA: Singapura berpotensi untuk terus berkembang, sedang ia memperkukuh hubungannya dengan negara-negara lain di rantau ini.
Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan Chee Hong Tat berkata demikian hari ini (10 Feb) di majlis pelancaran sebuah pusat sumber baru.
Pusat itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kemajuan dan peluang-peluang serantau.
Dipanggil Eye on Asia, kemudahan yang ditempatkan di Perpustakaan Negara menyediakan bahan-bahan mengenai kehidupan dan bekerja di Asia.
Terdapat juga portal online yang menyenaraikan peluang-peluang seperti latihan amali di luar negara dan kursus-kursis bagi para pelajar dan karyawan muda.
Berucap di majlis pelancaran tersebut, Encik Chee berkata Asia akan membentuk 40 peratus GDP global menjelang tahun 2030.
Lantaran itu, Singapura perlu membantu rakyatnya menyesuaikan diri dengan pasaran Asia, sedang ia membawa masuk pendatang baru dan pekerja asing yang boleh membantu memperkukuh rangkaian, di samping membolehkan Singapura beroperasi dengan lebih cekap di negara asal mereka.
"Kita boleh memanfaatkan pertumbuhan itu dengan meletakkan Singapura sebagai hab global di Asia. Kami mahu Singapura menjadi tempat di mana data, idea-idea, bakat dan modal dari rantau ini disepadukan dan di mana inovasi serta perniagaan dimulakan.
"Bukan hanya untuk pasaran Singapura, sebaliknya menjadikan Singapura sebagai nadi operasi serantau mereka dan gerbang untuk menembusi pasaran di bandar-bandar Asia yang lain," kata Encik Chee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.