ExxonMobil dedah rancangan perluasan berbilion dolar kompleks penghasilan Singapura
ExxonMobil mengumumkan pada Selasa (2 Apr) rancangan bernilai berbilion dolar untuk meluaskan kompleks pengeluaran bersepadunya di Singapura yang akan membantu syarikat itu meningkatkan penghasilan bahan bakar lebih bersih dengan kandungan rendah sulfur.
Kemudahan penyulingan minyak ExxonMobil di Pulau Jurong (Gambar: ExxonMobil)
SINGAPURA: ExxonMobil mengumumkan pada Selasa (2 Apr) rancangan bernilai berbilion dolar untuk meluaskan kompleks pengeluaran bersepadunya di Singapura yang akan membantu syarikat itu meningkatkan penghasilan bahan bakar lebih bersih dengan kandungan rendah sulfur.
Projek perluasan itu yang dijangka mula beroperasi pada 2023, akan menukar minyak bahan bakar dan sisa bahan mentah kepada bahan lain yang mempunyai nilai lebih tinggi, menurut kenyataan ExxonMobil.
Syarikat itu menambah ini akan meningkatkan keupayaan penghasilan bahan bakar bersih dengan kandungan rendah sulfur sebanyak 48,000 tong sehari, termasuk bahan bakar marin bermutu tinggi.
Perluasan ini diumumkan di tengah-tengah usaha industri perkapalan dan penapisan minyak untuk mematuhi undang-undang baru Persatuan Maritim Antarabangsa (IMO) berhubung minyak marin mulai 2020, yang menghadkan kandungan sulfur daripada 3.5 peratus menjadi 0.5 peratus. Langkah itu dibuat untuk mengurangkan pencemaran daripada kapal-kapal.
Syarikat-syarikat membuat pelaburan besar untuk mematuhi piawai baru itu sejak ia diumumkan pada 2016.
Pusat penapisan minyak di Singapura yang terletak di Pulau Jurong dan sebuah tapak di Jurong, adalah kemudahan terbesar ExxonMobil dengan keupayaan penghasilan sekitar 592,000 tong sehari.
Singapura juga adalah tempat bagi kompleks bersepadu petrokimia terbesar milik syarikat gergasi minyak itu.
"Keputusan memperluaskan operasi di Singapura memperkukuh kedudukan ExxonMobil sebagai pendahulu di rantau ini dalam penghasilan produk inovatif yang membantu pelanggan meningkatkan penjimatan minyak dan mengurangkan bahan pencemaran," kata pengerusi dan pengarah urusan ExxonMobil Asia Pacific, Gan Seow Kee.
Exxon tidak mendedahkan jumlah pelaburannya ke dalam projek ini.
Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata pelaburan itu membayangkan keyakinan berterusan ExxonMobil terhadap Singapura dan industri petrokimia negara ini. Ini juga akan menghasilkan "peluang baru dan menarik" bagi syarikat dan pekerja tempatan, menurut beliau dalam satu catatan di Facebook.
"ExxonMobil sudah sekian lama merupakan rakan kerja rapat dan diyakini dan memainkan peranan penting dalam pembangunan industri petrokimia Singapura," menurut menteri itu.
"Jenama Singapura yang utuh dan diyakini, tenaga kerja berkemahiran dan sekitaran mesra perusahaan di sini mengupayakan kita untuk mengungguli saingan dan menjadi kekal menarik kepada pelabur asing," tambah Encik Chan.
"Kami akan terus bekerja rapat dengan semua pihak-pihak berkepentingan untuk membangunkan ekonomi yang pelbagai dan bertenaga bagi manfaat semua warga Singapura."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.