EU kecam kenaikan tarif keluli dan alumnium Amerika Syarikat
Suruhanjaya Eropah pada Sabtu (31 Mei) mengecam keras keputusan Amerika Syarikat untuk menaikkan tarif ke atas import keluli daripada 25 peratus kepada 50 peratus, sambil memberi amaran bahawa langkah itu boleh mencetuskan tindakan balas segera dari Eropah.
Bendera Kesatuan Eropah (EU). (Gambar: AFP/Kenzo Tribouillard)
“Kami amat kesal dengan kenaikan yang diumumkan ini,” kata jurucakap Suruhanjaya tersebut dalam satu kenyataan melalui emel, sambil menyatakan bahawa keputusan itu “menambah ketidaktentuan kepada ekonomi global dan meningkatkan kos kepada pengguna serta perniagaan di kedua-dua belah Atlantik", lapor Xinhua
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Jumaat mengumumkan bahawa beliau bercadang untuk menggandakan tarif ke atas import keluli dan aluminium kepada 50 peratus. Dalam satu catatan di platform Truth Social miliknya, Encik Trump menyatakan kadar baharu itu akan berkuat kuasa pada 4 Jun.
Suruhanjaya berkata tindakan oleh Amerika Syarikat itu menjejaskan usaha yang sedang dijalankan untuk mencapai penyelesaian secara rundingan. Pada April lalu, Kesatuan Eropah (EU) menggantung langkah balasnya bagi memberi ruang kepada dialog. Namun kini, blok itu memberi isyarat kesediaan untuk bertindak.
“EU bersedia untuk melaksanakan tindakan balas, termasuk terhadap kenaikan tarif AS yang terbaharu,” kata jurucakap itu, sambil menambah bahawa Suruhanjaya kini sedang memuktamadkan rundingan berhubung langkah tambahan.
Langkah sedia ada dan tambahan oleh EU dijangka berkuat kuasa pada 14 Julai - atau lebih awal - “jika keadaan memerlukan.”
Pentadbiran Encik Trump sebelum ini mengenakan tarif menyeluruh sebanyak 25 peratus ke atas semua import keluli dan aluminium pada 12 Mac, sekali gus mencetuskan kritikan hebat daripada industri automotif Amerika Syarikat.
Kanada segera bertindak balas dengan mengenakan tarif timbal balik, manakala EU turut mengumumkan langkah serupa sebelum menarik balik tindakan itu.
“Suruhanjaya telah nyatakan dengan jelas kesediaannya untuk bertindak demi mempertahankan kepentingan EU - melindungi pekerja, pengguna dan industri kami,” kata jurucakap Suruhanjaya tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.