EU bakal kemuka langkah balas ke atas barangan Amerika untuk elak tarif
Suruhanjaya Eropah merancang untuk mengemukakan tarif balas ke atas barangan Amerika Syarikat bernilai 93 bilion euro (S$139.28 bilion) untuk kelulusan negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU), manakala ketua perdagangannya akan mengadakan rundingan dengan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Howard Lutnick.
Pesuruhjaya Perdagangan Eropah, Maros Sefcovic, bercakap kepada media sejurus tiba untuk mesyuarat Majlis Hal Ehwal Luar Kesatuan Eropah (EU) yang melibatkan menteri perdagangan, di bangunan Europa di Brussels, pada 15 Mei 2025. (Gambar fail: AFP/Simon Wohlfahrt)
Suruhanjaya itu menyatakan pada Rabu (23 Jul) bahawa tumpuan utamanya adalah untuk mencapai huraian menerusi rundingan dengan Amerika Syarikat bagi mengelakkan tarif Amerika Syarikat sebanyak 30 peratus yang menurut Presiden Donald Trump akan dikenakan ke atas blok 27 negara itu pada 1 Ogos.
Pesuruhjaya Perdagangan Eropah, Maros Sefcovic, dijadual berbincang dengan Encik Lutnick pada petang Rabu, menurut Suruhanjaya tersebut, sebelum pegawai-pegawai Suruhanjaya memberi taklimat kepada para duta EU berhubung perkembangan semasa.
Suruhanjaya itu turut menyatakan bahawa pihaknya secara selari akan meneruskan langkah-langkah tindak balas yang berpotensi. Ia akan menggabungkan dua senarai tarif berjumlah 21 bilion euro (S$31.46 bilion) dan 72 bilion euro (S$107.85 bilion) ke dalam satu senarai tunggal.
Suruhanjaya tersebut menambah bahawa senarai itu akan dikemukakan kepada negara-negara anggota EU untuk kelulusan. Tiada tindakan balas akan dikuatkuasakan sebelum 7 Ogos. Setakat ini, EU belum melaksanakan sebarang tindakan balas. Ia sudah mencapai persetujuan bagi satu set pertama pada April lalu, namun menangguhkan tidakan balas tersebut dengan serta-merta.
Suruhanjaya itu mungkin didorong oleh perjanjian awal yang dicapai antara Amerika Syarikat dan Jepun.
Saham-saham Eropah melonjak lebih satu peratus pada Rabu, diterajui saham sektor automobil, selepas Presiden Trump menghidupkan semula harapan untuk mencapai satu perjanjian perdagangan dengan EU susulan persetujuan Amerika Syarikat-Jepun yang merangkumi kadar asas sebanyak 15 peratus.
Diplomat EU enggan memberikan ulasan awal, sebaliknya menyatakan mereka sedang meneliti butiran perjanjian Amerika Syarikat-Jepun, termasuk fakta bahawa Jepun akan membeli lebih banyak beras dari Amerika Syarikat, tetapi mengekalkan tarif sedia ada bagi produk pertanian lain.
Profesor geopolitik dan strategi di Sekolah Perniagaan IMD, Simon Evenett, berkata kadar 15 peratus itu adalah lebih rendah berbanding ancaman tarif yang baru-baru ini dikemukakan oleh Encik Trump ke atas Jepun, dan adalah penting untuk diperhatikan bahawa kadar itu nampaknya terpakai bagi kereta buatan Jepun.
“Apa sahaja yang diperoleh Jepun akan menjadi penanda aras minimum bagi objektif rundingan EU,” kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.