Skip to main content

Kewangan

Emas lonjak ke paras rekod di tengah ketegangan geopolitik

Anggaran Waktu Membaca:
Emas lonjak ke paras rekod di tengah ketegangan geopolitik

(Gambar hiasan: iStock)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 26 Jan 2026 03:17PM Dikemas Kini : 26 Jan 2026 03:19PM
WASHINGTON: Emas melonjak ke paras rekod melebihi AS$5,000 (S$6,340) seauns pada Isnin (26 Jan), meneruskan kenaikan bersejarah sedang pelabur berpusu-pusu melabur ke dalam aset itu di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

Harga sedia ada bagi emas meningkat 0.94 peratus kepada AS$5,029.62 (S$6,378.50) seauns setakat pukul 11.21 malam GMT, manakala niaga hadapan emas Amerika bagi penghantaran Februari naik 1.02 peratus kepada AS$5,029.70 (S$6,378.60) seauns.

"Ramalan kami bagi tahun ini ialah emas akan mencapai paras tertinggi AS$6,400 (S$8,116.40) seauns dengan purata AS$5,375 (S$6,816.50), kata penganalisis bebas Ross Norman.

Ketegangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat dan NATO berhubung Greenland menambah momentum baharu kepada kenaikan emas tahun ini, didorong oleh jangkaan ketidaktentuan kewangan dan geopolitik yang lebih besar.

Di peringkat geopolitik, Ukraine dan Rusia menamatkan hari kedua rundingan yang diantarakan oleh Amerika di Abu Dhabi pada Sabtu tanpa mencapai perjanjian, namun rundingan lanjut dijangka berlangsung hujung minggu depan.

Ini berlaku meskipun serangan udara Rusia pada waktu malam menyebabkan bekalan elektrik terputus kepada lebih sejuta rakyat Ukraine dalam cuaca musim sejuk di bawah paras beku.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Sabtu bahawa beliau juga akan mengenakan tarif 100 peratus ke atas Kanada sekiranya negara itu meneruskan perjanjian perdagangan dengan China, dan memberi amaran kepada Perdana Menteri Kanada Mark Carney bahawa perjanjian tersebut akan membahayakan negaranya.

Emas melonjak 64 peratus pada 2025, disokong oleh pelonggaran dasar monetari Amerika, permintaan bank pusat - dengan China melanjutkan pembelian emasnya untuk bulan keempat belas berturut-turut pada Disember - serta aliran masuk rekod ke dalam dana dagangan bursa.

Robin Tsui, ahli strategi emas Asia Pasifik di State Street Investment Management, berkata kekuatan emas baru-baru ini meneruskan kenaikan tahun lalu yang sebahagian besarnya didorong oleh faktor struktur seperti jangkaan pemotongan kadar faedah.

Beliau memberitahu Asia First CNA bahawa kenaikan terbaharu terutamanya berpunca daripada peningkatan risiko geopolitik, khususnya ketidaktentuan terhadap dasar dan tarif Amerika di bawah Encik Trump.

“Kita dapat lihat terdapat banyak dana strategik dan taktikal yang mengalir ke emas,” tambahnya.

“Semua tarif dan ketegangan ini telah meningkatkan kebimbangan terhadap ekonomi global. Emas mendapat manfaat daripadanya kerana secara sejarah ia merupakan pelindung nilai yang baik terhadap potensi kemerosotan mata wang dan aset berisiko.”

Harga sedia ada perak meningkat 1.85 peratus kepada AS$104.85 (S$133) seauns. Harga sedia ada platinum turun 0.21 peratus kepada AS$2,762.25 (S$3,500) seauns, manakala harag sedia ada paladium naik 0.22 peratus kepada AS$2,014.50 (S$2,550) seauns.

Harga sedia ada perak melepasi paras AS$100 (S$126.80) seauns buat pertama kali pada Jumaat, meneruskan kenaikan 147 peratus tahun lalu apabila pembelian oleh pelabur runcit dan berasaskan momentum menambah kepada tempoh kekangan bekalan yang berpanjangan dalam pasaran fizikal bagi logam berharga dan perindustrian itu.
Sumber : CNA/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita