EMA keluarkan permohonan cadangan pertama untuk import elektrik rendah karbon ke S'pura
Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pada Jumaat (12 Nov) mengeluarkan permohonan cadangan (RFP) pertama bagi saranan untuk melantik pengimport elektrik membawa masuk dan menjual sekitar 1.2 gigawatt (GW) elektrik rendah karbon ke Singapura, mulai 2027.

Gambar: istock
SINGAPURA: Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pada Jumaat (12 Nov) mengeluarkan permohonan cadangan (RFP) pertama bagi saranan untuk melantik pengimport elektrik membawa masuk dan menjual sekitar 1.2 gigawatt (GW) elektrik rendah karbon ke Singapura, mulai 2027.
Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong pada 25 Oktober mengumumkan rancangan Singapura untuk mengimport sehingga 4 GW elektrik menjelang 2035 iaitu sekitar 30 peratus bekalan elektrik Singapura pada tahun itu.
Permohonan bagi cadangan kedua EMA untuk baki jumlah import elektrik, yang dijadual bermula pada 2035, dijangka dikeluarkan pada suku kedua tahun depan.
"Import elektrik juga akan membantu kita mempelbagaikan sumber tenaga selain daripada gas semula jadi dan meningkatkan daya tahan tenaga kita," menurut EMA pada Jumaat.
Ini juga akan membantu menyokong pembangunan projek-projek rendah karbon di rantau ini dan usaha mengurangkan pengeluaran karbon serantau, tambah pihak berkuasa itu.
Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, EMA menyatakan pihak-pihak yang berminat dengan permohonan cadangan pertama itu mesti menyerahkan saranan mereka sebelum 3.00 petang pada 1 April 2022.
"Saranan-saranan itu harus mengandungi reka bentuk penjanaan dan keterhubungan selain sumber bekalan," terang EMA.
"Pengimport harus menunjukkan kebolehpercayaan bekalan, kredibiliti, rekod prestasi, daya saing kos dan kemampuan membekal dan menguruskan pengeluaran bekalan karbon penjanaanya."
EMA juga menyatakan cadangan dengan elektrik yang dibekalkan oleh teknologi penjanaan menggunakan pembakaran arang tidak akan diterima.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.