Skip to main content

Kewangan

Eksport utama SG naik 5.4% pada Mac

Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura meningkat sebanyak 5.4 peratus pada bulan Mac, dengan kadar pertumbuhan lebih perlahan berbanding 7.6 peratus yang dicatat pada Februari.

Anggaran Waktu Membaca:
Eksport utama SG naik 5.4% pada Mac

Kontena di terminal PSA Tanjong Pagar di Singapura pada 4 Jan 2016. (Gambar fail: REUTERS/Edgar Su)

SINGAPURA: Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura meningkat sebanyak 5.4 peratus pada bulan Mac, dengan kadar pertumbuhan lebih perlahan berbanding 7.6 peratus yang dicatat pada Februari.

Kedua-dua kategori elektronik dan bukan elektronik mencatat pertumbuhan pada Mac, berdasarkan data yang dikeluarkan Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada Khamis (17 Apr).

“Produk bukan elektronik tumbuh pada separuh kadar Februari, manakala produk elektronik berkembang dari paras asas yang rendah,” menurut EnterpriseSG dalam kenyataan medianya.

Tinjauan Reuters sebelum ini meramalkan pertumbuhan sebanyak 14.1 peratus.

Dari segi tahun ke tahun, eksport produk elektronik meningkat sebanyak 11.9 peratus pada Mac, menyusuli kenaikan 6.9 peratus pada Februari.

Komputer peribadi, cakera media dan litar bersepadu menyumbang paling banyak kepada pertumbuhan eksport produk elektronik, masing-masing meningkat sebanyak 121.4 peratus, 35.7 peratus dan 6.5 peratus.

Eksport produk bukan elektronik meningkat sebanyak 3.8 peratus pada Mac, dengan pertumbuhan perlahan berbanding 7.7 peratus yang dicatat pada bulan sebelumnya.

Pertumbuhan tertinggi dicatatkan bagi struktur kapal dan bot, emas bukan kewangan dan produk farmaseutikal.

EnterpriseSG tidak menyediakan kadar pertumbuhan bagi sektor struktur kapal dan bot, kerana eksport dalam sektor itu meningkat dari paras asas yang rendah kepada lebih 1,000%.

Pertumbuhan emas bukan kewangan dan produk farmaseutikal masing-masing adalah sebanyak 64.7 peratus dan 24.9 peratus.

NODX ke Taiwan, Indonesia dan Korea Selatan masing-masing meningkat sebanyak 45.7 peratus, 63 peratus dan 21.6 peratus pada November, manakala NODX ke China merosot.

Eksport semula bukan minyak (NORX) meningkat sebanyak 5.5 peratus pada Mac, selepas mencatat pertumbuhan 12.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Eksport semula produk elektronik meningkat sebanyak 9.2 peratus pada Mac, manakala produk bukan elektronik mencatat pertumbuhan sebanyak 1.3 peratus.

NORX ke Amerika Syarikat, Taiwan dan Hong Kong masing-masing meningkat sebanyak 92.2 peratus, 77.8 peratus dan 13.8 peratus pada Mac.

Jumlah dagangan keseluruhan meningkat sebanyak 3.4 peratus secara tahun ke tahun pada Mac, berikutan pertumbuhan 4.6 peratus pada bulan sebelumnya.

Eksport dan import kedua-duanya mencatat peningkatan – masing-masing sebanyak 2.3 peratus dan 4.6 peratus.

Pada 2 April, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenakan tarif menyeluruh sebanyak 10 peratus ke atas semua import ke negara itu, dengan kadar yang lebih tinggi bagi negara-negara yang dianggap memperlakukan Amerika Syarikat secara “tidak adil”.

Singapura, yang buat masa ini tidak mengenakan tarif ke atas import dari Amerika, kini berdepan kadar tarif asas sebanyak 10 peratus.

Encik Trump sejak itu menggantung pelaksanaan tarif yang lebih tinggi terhadap rakan dagang negaranya – kecuali China – selama 90 hari.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menyatakan awal bulan ini bahawa tarif yang dikenakan Presiden Trump dan perang perdagangan yang berterusan antara Amerika dan China dijangka akan “memberi kesan besar terhadap perdagangan dan pertumbuhan ekonomi global”.

MTI menambah bahawa prospek pertumbuhan ekonomi di rantau ini akan “terjejas secara negatif” akibat kejatuhan permintaan luar, sebahagiannya disebabkan oleh kesan tarif tersebut yang lebih meluas terhadap perdagangan dan pertumbuhan global.

Ketua ahli ekonomi OCBC, Cik Selena Ling, memberitahu Mediacorp sebelum ini bahawa sifat tarif yang menyeluruh itu mungkin membawa kesan berangkai terhadap aktiviti pelabuhan, logistik dan kewangan Singapura.

Sekiranya China dan negara-negara Asia Tenggara mengalami kemerosotan dalam perdagangan dan pertumbuhan ekonomi, Singapura juga akan terkesan, katanya.

Biarpun Singapura “mungkin atau mungkin tidak” mengalami kemelesetan tahun ini, ekonomi negara tetap akan mengalami kesan yang ketara, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada 8 April.

“Pertumbuhan yang perlahan akan bermakna peluang pekerjaan yang lebih sedikit dan kenaikan gaji yang lebih kecil bagi para pekerja. Dan jika lebih banyak syarikat menghadapi kesukaran atau memindahkan operasi mereka kembali ke Amerika Syarikat, kadar pemberhentian pekerja dan kehilangan pekerjaan akan meningkat,” tambahnya.

Selain kebimbangan jangka pendek, Encik Wong berkata tarif tersebut mengesahkan hakikat bahawa “era globalisasi berasaskan peraturan dan perdagangan bebas telah berakhir.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita