Eksport SG naik 13% pada Jun, lebih tinggi berbanding ramalan Reuters
Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura meningkat 13 peratus pada Jun berbanding bulan yang sama setahun lalu, menurut data pemerintah pada Khamis (17 Jul), menjangkaui anggaran para penganalisis, sedang penghantaran komputer peribadi (PC), litar bersepadu dan emas bukan kewangan meningkat dengan ketara.
Kenaikan itu lebih tinggi berbanding ramalan Reuters untuk pertumbuhan tahunan yang mengunjurkan peningkatan sebanyak 5 peratus menyusuli kemerosotan sebanyak 3.9 peratus yang disemak pada Mei lalu.
Butiran mengenai penyesuaian musiman dari bulan ke bulan bagi eksport tidak disertakan dalam kenyataan Enterprise Singapore.
Eksport produk elektronik seperti PC dan litar bersepadu masing-masing meningkat sebanyak 53.8 peratus dan 17.5 peratus setiap tahun, manakala produk bukan elektronik seperti emas bukan kewangan dan jentera khusus masing-masing meningkat sebanyak 211.9 peratus dan 31.4 peratus.
Eksport ke Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan meningkat dari segi tahunan pada Jun, masing-masing sebanyak 54.4 peratus, 28.3 peratus dan 33 peratus.
Eksport ke China juga meningkat sebanyak 8.5 peratus berbanding setahun lalu.
Eksport ke Amerika turun sebanyak 4.8 peratus berbanding tahun lalu, manakala eksport ke Jepun, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Kesatuan Eropah (EU) juga merosot.
Bagi enam bulan pertama 2025, eksport domestik bukan minyak (NODX) meningkat 5.2 peratus berbanding setahun lalu.
Ekonomi Singapura berkembang 4.3 peratus pada rentak lebih pantas daripada yang dijangkakan pada suku kedua berbanding tahun sebelumnya, menurut data awal, walaupun prospek diramal malap disebabkan oleh ketidaktentuan ekonomi global.
Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong bagaimanapun memberi amaran penguatkuasaan tarif Amerika dan kesan pelaksanaannya mungkin akan menjejaskan pertumbuhan dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.
Beliau akan melakukan lawatan ke Amerika akhir bulan ini untuk membincangkan konsesi tarif bagi eksport farmaseutikal negara ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengehadkan kesan ekonomi menyusuli perang dagang.
Presiden Donald Trump telah memaklumkan beberapa negara bahawa tarif 20 peratus hingga 50 peratus akan dikuatkuasakan mulai 1 Ogos, sambil memberi amaran sebarang tindakan balas akan menimbulkan tindak balas serupa.
Singapura masih belum menerima surat daripada pentadbiran Presiden Trump pada pusingan ini, dan eksport negara ini masih tertakluk kepada tarif asas 10 peratus yang diumumkan pada April lalu.
Negara-negara jiran di Asia Tenggara, Vietnam dan Indonesia telah membuat perjanjian dengan Washington untuk tarif di bawah paras yang pada mulanya diancam Presiden Trump akan dikenakan ke atas mereka.
Enterprise Singapore menyatakan bahawa ia "secara aktif memantau situasi tarif dan akan menyesuaikan ramalan NODX 2025 mengikut keperluan Singapura untuk mencerminkan keadaan pasaran yang berubah-ubah".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.