Eksport S'pura pada Januari jatuh 10.1%, kemerosotan terbesar dalam 2 tahun
Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura merosot sebanyak 10.1 peratus pada Januari.

Gambar fail. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)
SINGAPURA: Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura merosot sebanyak 10.1 peratus pada Januari. Demikian menurut perangkaan agensi perdagangan Enterprise Singapore pada Khamis (17 Jan).
Perangkaan itu tidak menepati ramalan kemerosotan 1.6 peratus oleh 10 pakar ekonomi dalam satu tinjauan Reuters. Ia merupakan penurunan terbesar sejak Oktober 2016 apabila eksport negara merosot 14 peratus berbanding setahun sebelumnya.
Berdasarkan penyesuaian musiman, eksport merosot 5.7 peratus pada Januari berbanding bulan sebelumnya, menyusuli penguncupan sebanyak 4 peratus pada Disember disebabkan oleh kemerosotan eksport produk-produk elektonik dan bukan elektronik.

(Gambar: Enterprise Singapore)
Eksport elektronik jatuh sebanyak 15.9 peratus dari tahun ke tahun, menyusuli penurunan 11.2 peratus pada Disember.
Komputer peribadi (PC), produk media cakera dan Litar Bersepadu (IC) masing-masing merosot sebanyak 34.3 peratus, 29.2 peratus dan 6.8 peratus, sekali gus merupakan penyumbang terbesar kemerosotan sektor elektronik NODX.
Eksport bukan elektronik pula merosot 7.9 peratus pada Disember berbanding setahun sebelumnya, lebih perlahan berbanding penurunan 7.4 peratus pada bulan sebelumnya.
Mesin khas (-32.8 peratus), petrokimia (-11.8 peratus) dan enjin-enjin bukan elektronik & motor (-40.9 peratus) adalah penyumbang terbesar kemerosotan itu.
Secara keseluruhan, eksport ke 10 pasaran utama Singapura merosot pada Januari.
Penyumbang utama kepada penurunan NODX adalah China (-25.4 peratus), Korea Selatan (-31.4 peratus) dan Hong Kong (-11.7 peratus).
Secara keseluruhannya, perdagangan meningkat sebanyak 4.3. peratus pada Januari, melanjutkan pertumbuhan 1.6 peratus pada bulan sebelumnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.