Skip to main content

Kewangan

Eksport LNG Amerika Syarikat ke Eropah merosot di tengah lonjakan harga di Asia

Buat kali pertama dalam tempoh hampir dua tahun, kurang separuh daripada eksport gas asli cecair (LNG) Amerika Syarikat pada bulan lalu dihantar ke Eropah.

Anggaran Waktu Membaca:
Eksport LNG Amerika Syarikat ke Eropah merosot di tengah lonjakan harga di Asia

Kemudahan Freeport LNG di Quintana, Texas, Amerika Syarikat, pada 23 Jun 2025. (Gambar: REUTERS/Joel Angel Juarez)

Diterbitkan : 02 Jul 2026 09:43AM
HOUSTON: Buat kali pertama dalam tempoh hampir dua tahun, kurang separuh daripada eksport gas asli cecair (LNG) Amerika Syarikat pada bulan lalu dihantar ke Eropah.

Harga yang lebih tinggi di Asia serta jumlah import rekod oleh Mesir menyebabkan kargo dialihkan ke rantau tersebut, menurut data awal penjejakan kapal daripada LSEG.

Perubahan itu menandakan kali pertama sejak Julai 2024 di mana Eropah tidak menerima sebahagian besar eksport bulanan LNG Amerika Syarikat. Pembeli di Eropah, yang masih perlu mengisi semula simpanan mereka menjelang musim sejuk akan datang, dilihat memilih untuk menunggu harga yang lebih baik.

Harga spot Asia didagangkan pada paras lebih tinggi berbanding Eropah pada bulan lalu, sekali gus menggalakkan pengeksport untuk mengalihkan penghantaran ke Asia.

Penanda aras JKM di Asia mencatat purata AS$17.33 (S$22.45 juta) bagi setiap juta unit terma British (mmBtu) pada Jun, berbanding penanda aras TTF di Eropah sebanyak AS$13.19 (S$17.09) bagi setiap mmBtu, menurut data LSEG.

Sementara itu, para pembeli dari Mesir membayar premium sehingga AS$1 (S$1.30) bagi setiap mmBtu, melebihi harga yang dikaitkan dengan TTF.

Kekangan bekalan dari Timur Tengah yang dikaitkan dengan ketegangan geopolitik serantau serta permintaan yang lebih perlahan di Eropah meluaskan jurang harga dan mewujudkan peluang meraih keuntungan daripada perbezaan harga bagi para pengeksport Amerika Syarikat.

Jumlah eksport LNG Amerika Syarikat meningkat sedikit kepada 10.6 juta tan metrik (MT) pada Jun, meskipun bulan itu mempunyai kurang satu hari berbanding Mei.

Pengeluaran disokong oleh beberapa kemudahan, termasuk milik Cheniere Energy dan Freeport LNG, yang kembali beroperasi selepas menjalani penyelenggaraan berjadual.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4.41 MT dihantar ke Eropah, atau kurang sedikit daripada 42 peratus daripada keseluruhan eksport, merosot daripada 5.13 MT, atau lebih sedikit daripada 50 peratus, pada Mei.

Para penganalisis berkata permintaan dari Eropah kekal perlahan, manakala sebahagian pedagang menangguhkan pembelian disebabkan oleh jangkaan bahawa bekalan LNG global akan meningkat, sekali gus membantu menurunkan harga menjelang penghujung tahun ini.

"Keadaan 'harga yang lebih rendah pada masa hadapan' bermakna para pedagang kekal dengan pendirian mereka dan pada masa ini membeli gas dalam jumlah yang sangat sedikit," kata Ketua Penyelidikan Tenaga Eqolibrium, Hans van Cleef.

"Kebimbangan membayar pada harga yang terlalu tinggi masih menguasai pasaran."

Mesir muncul sebagai pembeli utama dengan mengimport rekod sebanyak 1.06 MT LNG dari Amerika Syarikat pada Jun, bersamaan hampir 10 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport, menurut data LSEG.

Penghantaran ke Asia berjumlah 3.25 MT, atau sekitar 31 peratus daripada keseluruhan eksport. Jumlah itu sedikit lebih rendah berbanding Mei, namun jauh lebih tinggi berbanding tempoh awal 2026, menurut data LSEG.

Eksport ke Amerika Latin turut meningkat kepada 0.96 MT dengan para pembeli menggantikan bekalan yang berkurangan dari Trinidad dan Tobago, menyusuli kerja-kerja penyelenggaraan di kemudahan Atlantic LNG milik Shell dan BP yang menjejaskan pengeluaran, menurut data LSEG.

Kira-kira 0.73 MT LNG Amerika Syarikat dihantar tanpa destinasi tetap, dengan kargo-kargo tersebut mencari pembelinya ketika berada di laut.

Beberapa kargo tunggal turut dijual kepada Amiriah Arab Bersatu (UAE), Afrika Selatan dan Senegal.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita