Ekonomi SG tumbuh 4.4% pada 2024; jangkaui ramalan awal
Ekonomi Singapura berkembang 4.4 peratus pada 2024, mengatasi ramalan dan anggaran awal, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam data terkini yang dikeluarkan pada Jumaat (14 Feb).
Pada Januari, MTI menyatakan bahawa ekonomi Singapura tumbuh 4 peratus pada 2024, menjangkaui ramalan yang mengunjurkan sekitar 3.5 peratus.
Bagi suku keempat, pertumbuhan itu disemak daripada 4.3 peratus kepada 5 peratus. Berdasarkan penyesuaian musiman dari suku ke suku, ekonomi Singapura berkembang 0.5 peratus, lebih perlahan daripada peningkatan 3 peratus yang dicatatkan pada suku ketiga.
"Dengan mengambil kira prestasi ekonomi pada suku keempat, pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) mencatatkan 4.4 peratus bagi 2024 secara keseluruhannya, lebih pantas daripada peningkatan 1.8 peratus yang dicatatkan pada 2023," dedah MTI dalam kenyataan medianya.
Perangkaan bagi tiga suku pertama 2024 juga meningkat daripada Tinjauan Ekonomi Singapura sebelum ini.
Pertumbuhan bagi 2024 dipacu terutamanya oleh sektor perdagangan borong, kewangan dan insurans serta pengilangan.
Khususnya, kelompok elektronik sektor pengilangan dan jentera, segmen peralatan dan bekalan sektor perdagangan borong berkembang dengan pesat disebabkan oleh peningkatan pada kitaran elektronik global.
Pertumbuhan dalam sektor kewangan dan insurans didorong oleh aktiviti perdagangan yang meningkat apabila sentimen dalam pasaran kewangan global dan tempatan berubah. Yuran dan komisen bersih dalam kalangan bank dan pengurus dana menyaksikan pertumbuhan kukuh, kata MTI.
"Sebaliknya, sektor perdagangan runcit dan khidmat makanan dan minuman (F&B) menguncup, sebahagiannya disebabkan oleh penduduk tempatan mengalihkan perbelanjaan mereka ke destinasi pelancongan luar negara," menurut MTI.
RAMALAN BAGI 2025
Menurut MTI, unjuran pertumbuhan GDP bagi 2025 kekal antara 1 peratus dan 3 peratus.
Ekonomi-ekonomi utama kekal berdaya tahan dan prospek permintaan luar Singapura untuk tahun ini secara amnya tidak berubah, dengan pertumbuhan keseluruhan GDP dalam kalangan rakan dagang utama Singapura dijangka merosot berbanding paras tahun 2024.
Di Amerika Syarikat, pertumbuhan GDP dijangka menjadi sederhana, sejajar dengan unjuran bahawa pertumbuhan bagi penggunaan privet akan berkurangan apabila pasaran buruh tidak lagi ketat.
"Ketidaktentuan masih membayangi prospek ekonomi Amerika, dengan trajektorinya bergantung kepada dasar pentadbiran baharu negara itu," tambah MTI.
Pada Khamis (13 Feb), Presiden Donald Trump mengumumkan rancangan "tarif tindak balas" yang boleh menjejaskan kedua-dua sekutu dan pesaingnya.
“Mana-mana negara yang mengenakan cukai ke atas Amerika Syarikat, kami akan mengenakan tarif terhadap mereka,” kata Encik Trump.
Di Zon Euro, MTI menjangkakan pertumbuhan GDP perkumpulan itu akan bertambah baik berikutan pertumbuhan penggunaan yang lebih kukuh dan pemulihan beransur-ansur dalam pelaburan apabila dasar kewangan menjadi lebih mesra perniagaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.