Ekonomi SG dijangka melemah pada separuh kedua 2025; sektor runcit dan F&B antara yang terjejas: MAS
Pertumbuhan ekonomi Singapura dijangka melemah pada separuh kedua tahun ini disebabkan oleh tekanan ekonomi global, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Rabu (30 Jul), selepas negara mencatat pertumbuhan kukuh yang tidak dijangka pada separuh pertama tahun ini.
Pekerja pejabat di Daerah Pusat Perniagaan (CBD) Singapura.(Gambar fail: iStock)
Kelembapan itu berkemungkinan menjejas sektor-sektor berorientasi domestik seperti runcit serta makanan dan minuman (F&B), yang mengalami pertumbuhan perlahan atau negatif dalam enam bulan pertama 2025, berbeza dengan prestasi keseluruhan ekonomi negara.
Bagi keseluruhan 2025, MAS menjangkakan pertumbuhan akan "lebih berdaya tahan berbanding jangkaan sebelum ini".
Pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) dijangka "agak perlahan" bagi baki tahun ini, menurut bank pusat itu berdasarkan tinjauan makroekonomi suku tahunannya, dengan menekankan kelemahan dalam sektor-sektor berkait perdagangan dan khidmat moden.
Sektor domestik juga semakin stabil, menghampiri kadar sebelum pandemik, walaupun terdapat sokongan daripada perancangan projek pembinaan yang kukuh.
Kesan pembelian awal juga dijangka berkurangan selepas lonjakan dalam eksport semula barangan seperti komputer, telefon bimbit, jentera dan peralatan ke Amerika Syarikat.
Eksport semula barangan elektronik perantaraan seperti litar bersepadu juga meningkat dengan ketara pada suku kedua.
Pembelian awal berlaku apabila perniagaan mempercepat pesanan atau urus niaga lebih awal daripada biasa.
Tempoh jeda 90 hari terhadap tarif balas Amerika Syarikat mendorong syarikat asing untuk mempercepatkan pesanan, menyebabkan lebih banyak barangan dihantar ke Amerika Syarikat sebelum tarikh akhir tarif. Beberapa kesan “bayaran balik” dijangka dirasai pada separuh kedua tahun ini.
“Namun begitu, pencapaian yang lebih kukuh daripada jangkaan pada separuh pertama 2025 menunjukkan bahawa pertumbuhan GDP berkemungkinan lebih berdaya tahan tahun ini berbanding jangkaan dalam Tinjauan April 2025,” menurut MAS.
Bank pusat itu mengekalkan dasar kewangannya tanpa perubahan pada Rabu pagi, sambil menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi global adalah lebih kukuh berbanding jangkaan. MAS menyatakan ia berada dalam “kedudukan yang sesuai untuk memberi respons terhadap risiko kestabilan harga dalam jangka sederhana”.
Tarif Amerika Syarikat ke atas rakan dagang Singapura dijangka lebih tinggi daripada kadar asas 10 peratus selepas 1 Ogos. Ia akan menjejas Singapura secara tidak langsung menerusi eksport barangan dan khidmat perantaraan ke negara-negara tersebut, menurut MAS.
Laporan MAS pada Rabu menyusuli maklum balas Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong mengenai rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan Singapura pada Selasa.
Encik Gan mendapati bahawa pegawai Amerika Syarikat tidak cenderung untuk membincangkan sebarang potensi potongan ke atas tarif 10 peratus itu semasa lawatannya ke New York dan Washington, DC. Mereka juga tidak komited sama ada tarif asas itu akan dikekalkan pada 10 peratus.
“TIDAK SEPERTI KEMEROSOTAN SEBELUMNYA”
Namun, ketidaktentuan ekonomi kekal wujud dan kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi mungkin berbeza daripada kemerosotan sebelum ini, menurut MAS.
Berbanding kemerosotan yang sebelumnya, di mana pengeluaran ekonomi merosot dengan ketara sebelum pulih secara mendadak, MAS menyatakan bahawa syarikat kini lebih berhati-hati terhadap kesan jangka panjang tarif dan sekatan lain.
Oleh itu, mereka mungkin menangguhkan rancangan dan hanya membuat pelarasan kecil berhubung keputusan pengeluaran dan pelaburan.
“Akibatnya, perbelanjaan perniagaan mungkin merosot secara beransur-ansur, memanjangkan kesan negatif ke atas pembentukan modal tetap kasar dan seterusnya pertumbuhan GDP dalam tempoh yang lebih lama,” menurut MAS.
Di peringkat domestik, bank pusat itu turut menyatakan bahawa kelembapan ekonomi secara menyeluruh boleh menjejas penggunaan domestik, sekali gus menambahkan tekanan ke atas sektor peruncitan dan F&B. Kedua-dua sektor itu mencatatkan penguncupan sepanjang 2024 dan tidak berkembang sejajar dengan ekonomi keseluruhan dalam separuh pertama 2025.
MAS mengaitkan perkara tersebut dengan faktor struktur yang mencetuskan “keadaan perniagaan yang mencabar”, termasuk “struktur kos yang lebih tinggi dan ketepuan pasaran di tengah-tengah persaingan yang semakin sengit serta perubahan cita rasa pengguna”.
Namun begitu, kesan kelembapan ekonomi terhadap penggunaan domestik boleh "diseimbangkan" sedikit oleh kedudukan kewangan isi rumah yang sihat serta langkah-langkah sokongan pemerintah, menurut MAS.
Satu perkembangan positif mungkin muncul bagi sektor kewangan, memandangkan pencarian pulangan lebih baik oleh pelabur boleh merangsang pertumbuhan syarikat-syarikat dalam sektor tersebut.
MAS menyatakan bahawa pasaran kewangan sudah dapat memulihkan sebahagian besar daripada kerugian pada awal April menyusuli berita rundingan perdagangan.
Beberapa pelabur runcit mendapat manfaat daripada pemulihan itu, manakala pelabur institusi juga sudah meningkatkan pendedahan risiko bersih mereka sambil mempertimbangkan kepelbagaian portfolio.
“Oleh itu, aktiviti dagangan pasaran mungkin meningkat dan memberikan sokongan kepada pertumbuhan melalui yuran dan komisen bersih bank, pengurus dana, serta peniaga forex dan sekuriti,” menurut MAS.
Namun, ketidaktentuan secara keseluruhan berkemungkinan membawa kepada penyusutan permintaan buruh pada separuh kedua tahun ini, tambah laporan itu. Bagaimanapun, majikan dijangka dapat menangani kelembapan tersebut dengan menghadkan pengambilan baharu dan melaraskan gaji, dan bukan dengan mengurangkan tenaga kerja sedia ada.
“Ketahanan kewangan syarikat mencadangkan bahawa mereka berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengekalkan pekerja, justeru kemungkinan kehilangan pekerjaan yang ketara adalah lebih rendah.”
Namun jika kelembapan ekonomi adalah lebih mendalam dan berlarutan berbanding jangkaan, ia boleh memberi kesan ke atas pekerjaan.
“Melainkan berlakunya kemerosotan ekonomi yang mendadak, syarikat dijangka dapat mengawal kos buruh bagi tahun ini dengan menghadkan kenaikan gaji dan mengurangkan komponen gaji berubah terlebih dahulu, dan bukannya mengurangkan tenaga kerja,” menurut MAS.
INFLASI KEKAL TIDAK BERUBAH
MAS menyatakan bahawa kesan kenaikan harga air dan premium insurans kesihatan diimbangi inflasi yang mereda dalam kebanyakan kategori lain.
Inflasi teras, yang tidak mengambil kira kos penginapan dan pengangkutan persendirian, kekal pada purata 0.6 peratus dari tahun ke tahun dalam suku kedua, sama seperti suku sebelumnya.
“Permintaan pengguna domestik yang lemah juga mungkin menghadkan kesan kenaikan kos ke atas harga pengguna,” menurut MAS.
Jualan runcit, tidak termasuk kenderaan bermotor, merosot sejak Mac, manakala jualan perkhidmatan makanan dan minuman secara keseluruhan kekal jauh di bawah paras pra-pandemik.
Penurunan harga semakin ketara bagi barangan seperti pakaian, kasut, serta peralatan teknologi maklumat dan perhubungan. Inflasi bagi perkhidmatan rekreasi mereda dan menjadi lebih negatif bagi perkhidmatan yang ada kaitan dengan pelancongan.
Melihat ke hadapan, harga minyak global dijangka lebih rendah secara purata berbanding 2024, dan harga komoditi makanan antarabangsa dijangka meningkat secara sederhana. Tekanan disinflasi (proses mengurangkan atau berlakunya pengurangan kadar inflasi yang tinggi) import juga dilihat semakin meluas, sebahagiannya disebabkan oleh penyusutan nilai dolar Amerika Syarikat.
Di Singapura, pertumbuhan gaji yang perlahan mungkin membawa kepada penyederhanaan harga runcit dan perkhidmatan bersifat pilihan. Inflasi dijangka meningkat secara beransur-ansur dan menghampiri purata bersejarah menjelang 2026 apabila kesan subsidi kesihatan yang dipertingkatkan berkurangan.
Inflasi dijangka berada pada purata antara 0.5 hingga 1.5 peratus tahun ini.
Risiko kenaikan termasuk lonjakan harga minyak global dan gangguan pengangkutan akibat ketegangan geopolitik. “Dalam jangka panjang, tarif yang lebih tinggi dan geseran perdagangan boleh mendorong penstrukturan semula rantaian bekalan global kepada susunan yang kurang cekap dan lebih mahal.”
Sebaliknya, inflasi mungkin lebih lemah daripada jangkaan sekiranya pertumbuhan global dan domestik merosot dengan ketara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.