Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Ekonomi S'pura diramal gawat bagi 2020

Pakar ekonomi bank DBS meramalkan ekonomi Singapura mungkin menguncup 0.5 peratus bagi sepanjang tahun 2020. Beliau adalah ahli ekonomi kedua dari sektor privet yang turut menjangkakan Singapura akan mengalami kemelesetan ekonomi.

Anggaran Waktu Membaca:
Ekonomi S'pura diramal gawat bagi 2020

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 20 Mar 2020 03:54PM Dikemas Kini : 20 Mar 2020 04:00PM

SINGAPURA: Pakar ekonomi bank DBS meramalkan ekonomi Singapura mungkin menguncup 0.5 peratus bagi sepanjang tahun 2020. Beliau adalah ahli ekonomi kedua dari sektor privet yang turut menjangkakan Singapura akan mengalami kemelesetan ekonomi.

Diterbitkan dalam satu nota kajian pada Khamis (19 Mac), ramalan terkini oleh Encik Irvin Seah, seorang ahli ekonomi kanan di DBS, juga merupakan kali kedua beliau menurunkan ramalannya dalam tempoh kurang dua bulan.

Pada Februari, Encik Seah menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Singapura bagi 2020 dari 1.4 peratus kepada 0.9 peratus disebabkan oleh kesan negatif penularan COVID-19 ke atas ekonomi negara.

Minggu lalu, ahli ekonomi Chua Hak Bin dan Lee Ju Ye dari Maybank meramalkan ekonomi Singapura akan menguncup sebanyak 0.3 peratus bagi 2020.

EKONOMI GLOBAL GAWAT, S'PURA TIDAK TERKECUALI

Dalam ramalannya yang terkini, Encik Seah berkata kemelesetan ekonomi "tidak dapat dielakkan" di tengah-tengah keadaan yang serba tidak menentu di banyak bahagian dunia yang disebabkan oleh pandemik COVID-19, serta kos ekonomi yang tiba-tiba timbul akibat sekatan yang dikenakan ke atas perdagangan, pelaburan, penggunaan dan percutian.

"Keadaan ini berubah menjadi kemelesetan global yang 'dicetuskan sendiri'. Memandangkan Singapura adalah sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka, Singapura juga tidak terkecuali. Kemelesetan ekonomi kelihatan tidak dapat dielakkan," kata Encik Seah.

Kali terakhir Singapura mengalami penguncupan sepanjang setahun pada ekonominya adalah pada 2001 selepas keruntuhan fenomena dot-com di mana pertumbuhan ekonomi merosot sebanyak 1 peratus. Semasa keruntuhan dot-com, banyak saham yang berkaitan dengan internet, yang sebelum itu melambung tinggi nilainya, kemudian menjunam sedang pelabur bimbang perniagaan mereka tidak akan menjana pendapatan.

Menurut Encik Seah, kemelesetan teknikal, yang merujuk kepada penguncupan selama dua suku berturut-turut, adalah "sesuatu yang hampir tidak boleh dielakkan", memandangkan kesan penyakit itu tidak lagi terhad kepada hanya satu suku saja.

Pertumbuhan negatif juga mungkin berlarutan ke suku ketiga tahun ini, sebelum bangkit sedikit pada hujung tahun.

LEBIH TERUK DARI SARS, KRISIS KEWANGAN GLOBAL 2009

"(Kesannya) jauh lebih buruk berbanding SARS (Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk), dan lebih dahsyat berbanding krisis kewangan global," katanya.

Apabila Singapura dilanda SARS pada 2003, pertumbuhan sepanjang tahun adalah 4.5 peratus. Ekonomi menguncup 0.3 peratus pada suku kedua tahun itu, iaitu semasa SARS membelenggu negara, namun bangkit dengan pantas pada separuh kedua tahun tersebut.

Semasa krisis kewangan global pula, Singapura berhasil mencatat pertumbuhan 0.1 peratus pada 2009.

"Sedang keadaan pandemik terus memburuk, retorik rasmi adalah pakej rangsangan ekonomi kedua akan diumumkan. Kami menjangkakan Pemerintah akan melancarkan pakej bernilai antara S$14 bilion hingga S$16 bilion, (kira-kira 2.9 peratus daripada hasil dalam negeri kasar), untuk terus menyokong ekonomi," kata Encik Seah.

Dengan pemerintah sekarang berjaya menjana lebihan belanjawan kira-kira S$7.7 bilion secara keseluruhannya - selepas mengambil kira defisit S$10 bilion yang diramalkan untuk tahun kewangan 2020 - ini bermakna tambahan S$6 bilion hingga S$8 bilion perlu ditampung dengan menggunakan rizab lalu.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan