Skip to main content

Kewangan

Ekonomi Malaysia tumbuh 4.4% pada Q2 berbanding tempoh sama pada 2024

Anggaran Waktu Membaca:
Ekonomi Malaysia tumbuh 4.4% pada Q2 berbanding tempoh sama pada 2024

Gambar fail Kuala Lumpur. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 15 Aug 2025 01:48PM Dikemas Kini : 15 Aug 2025 01:50PM
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus pada suku kedua 2025 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, sedikit di bawah jangkaan pasaran dan anggaran kerajaan, menurut data yang dikeluarkan pada Jumaat (15 Ogos).

Ahli ekonomi yang ditemu bual oleh Reuters menjangkakan pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) tahunan pada April hingga Jun berada pada 4.5 peratus, sejajar dengan anggaran awal kerajaan yang diumumkan bulan lalu. Pada suku pertama, ekonomi juga mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 4.4 peratus.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata pertumbuhan suku kedua didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh dan keadaan pasaran buruh yang positif, namun memberi amaran bahawa ramalan kekal mencabar di tengah-tengah ketidaktentuan berterusan akibat tarif Amerika Syarikat.

“Pertumbuhan boleh bergerak ke pelbagai arah… kita beroperasi dalam persekitaran yang berbeza di mana perubahan berlaku dengan sangat cepat,” kata Gabenor BNM, Abdul Rasheed Ghaffour, dalam satu sidang media.

Tarif 19 peratus ke atas eksport Malaysia ke Amerika Syarikat mula berkuat kuasa awal bulan ini, walaupun sesetengah barangan dikecualikan sementara menunggu semakan undang-undang Amerika Syarikat. Eksport Malaysia menurun secara tahunan pada bulan Mei dan Jun.

BNM menjangkakan pertumbuhan eksport kekal sederhana pada separuh kedua 2025, namun disokong oleh permintaan terhadap barangan elektrik dan elektronik serta peningkatan ketibaan pelancong, kata Abdul Rasheed.

Bulan lalu, bank pusat menurunkan unjuran pertumbuhan 2025 kepada antara 4 peratus hingga 4.8 peratus, berbanding 4.5 peratus hingga 5.5 peratus sebelum ini, disebabkan ketidaktentuan tarif global dan perubahan dasar perdagangan.

BNM juga memotong kadar faedah pada Julai - kali pertama dalam tempoh lima tahun - bagi “memelihara secara awal” pertumbuhan ekonomi berorientasikan eksport negara.

Kadar inflasi pula mereda dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan Indeks Harga Pengguna meningkat 1.1 peratus pada Jun berbanding tahun sebelumnya - kadar paling perlahan dalam tempoh lebih empat tahun.
Sumber : Reuters/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita