Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Ekonomi Indonesia catat pertumbuhan 5.17% pada 2018

Ekonomi Indonesia tumbuh lebih kukuh sedikit pada 2018 menurut perangkaan yang dikeluarkan pada Rabu (6 Feb), namun ia gagal mencapai sasaran tujuh peratus yang ditetapkan Presiden Joko Widdodo.

Anggaran Waktu Membaca:
Ekonomi Indonesia catat pertumbuhan 5.17% pada 2018

Presiden Joko Widodo (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 06 Feb 2019 07:20PM Dikemas Kini : 06 Feb 2019 07:26PM

JAKARTA: Ekonomi Indonesia tumbuh lebih kukuh sedikit pada 2018 menurut perangkaan yang dikeluarkan pada Rabu (6 Feb), namun ia gagal mencapai sasaran tujuh peratus yang ditetapkan Presiden Joko Widdodo.

Ekonomi terbesar Asia Tenggara itu berkembang 5.17 peratus dalam setahun, lebih tinggi berbanding pertumbuhan 5.1 peratus pada 2017 dan ramalan kebanyakan para pengamat ekonomi.

Agensi statistik menyatakan, pertumbuhan itu dipacu oleh perbelanjaan domestik sedang ekonomi Indonesia yang banyak bergantung kepada eksport komoditi berdepan dengan permintaan dunia yang tidak menentu.

"Pertumbuhan ini agak menggalakkan ... mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global dan harga komoditi yang tidak menentu," menurut ketua agensi statistik Encik Suhariyanto.

Namun, Indonesia juga melaporkan defisit perdagangan yang semakin meluas dalam beberapa bulan lalu sedang sektor pengilangannya menguncup pada Januari, buat pertama kali dalam tempoh setahun dan ini mencerminkan penghasilan yang semakin perlahan.

"Pertumbuhan sebegini tidak boleh dikekalkan kerana ia dipacu penggunaan dan bukan penghasilan," kata pengarah eksekutif Institut Pembangunan Ekonomi dan Kewangan di Jakarta, Enny Sri Hartati.

Data terbaru itu dikeluarkan beberapa bulan sebelum Presiden Widodo bertanding dalam pilihan raya dengan harapan dilantik semula bagi penggal seterusnya, dengan rekod ekonomi menjadi agenda utamanya.

Semasa mula menyandang jawatan pada 2014, Encik Widodo berikrar untuk merancakkan pertumbuhan kepada tujuh peratus setahun. Namun pentadbirannya gagal mencapai sasaran tersebut dengan hanya mencecah sekitar lima peratus setahun meskipun pembangunan prasarana dipergiatkan dan pakej rangsangan ekonomi diperkenalkan.

Indonesia juga bergelut dengan nilai mata wang rupiah yang lemah ekoran penjualan mata wang pasaran-pasaran baru muncul yang mengakibatkan nilai mata wang itu merosot ke sekitar paras krisis kewangan Asia 20 tahun lalu.

Namun nilai rupiah mengukuh sedikit beberapa bulan lalu disokong oleh bank pusat yang menaikkan kadar faedah beberapa kali pada 2018.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan