Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Ekonomi di tengah COVID-19 hambat usaha siswazah dapat pekerjaan; kadar pengangguran diramal 5-10%

Jika tahun lalu kadar pengangguran di Singapura adalah 2.3 peratus, kadar tersebut mungkin mencecah antara 5 hingga 10 peratus tahun ini dek kegawatan ekonomi yang disebabkan oleh COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika tahun lalu kadar pengangguran di Singapura adalah 2.3 peratus, kadar tersebut mungkin mencecah antara 5 hingga 10 peratus tahun ini dek kegawatan ekonomi yang disebabkan oleh COVID-19.

Berdasarkan pengamatan pakar ekonomi Maybank, Encik Saktiandi Supaat, seramai antara 150,000 hingga 200,000 pekerja dijangka akan hilang pekerjaan tahun ini.

"Buat masa ini, firma-firma lebih cenderung untuk tidak mengambil risiko. Mereka mahu menunggu dan melihat sebelum membuat sebarang pelaburan. Ada kesannya terhadap sektor-sektor tertentu, terutama sekali bagi segmen yang menawarkan khidmat tidak penting atau non-essential services," jelas Encik Saktiandi.

Prestasi ekonomi yang hambar dan kecenderungan syarikat-syarikat menjadi lebih berhati-hati pastinya akan menyulitkan lagi usaha para graduan untuk mendapatkan pekerjaan, tambah beliau.

Nasib ini mungkin akan dialami sebahagian besar daripada 16,000 mahasiswa enam universiti tempatan yang bakal menamatkan pengajian bermula bulan depan.

SISWAZAH NUS MASIH TERTUNGGU-TUNGGU

Bagi Erna Adlina Kamarul Azman, beliau menamatkan pengajiannya di Universiti Nasional Singapura (NUS) lebih awal berbanding mahasiswa lain daripada kohort yang sama.

Siswazah dengan ijazah kepujian Pentadbiran Perniagaan itu lulus pada bulan Disember lalu dan mula mencari pekerjaan secara aktif pada Januari. Malangnya, pada saat itulah, wabak COVID-19 mula tercetus.

Sehingga kini, Erna masih gagal mendapatkan pekerjaan walhal beliau sudah mempersiapkan diri untuk memasuki dunia pekerjaan. Ketika di universiti, Erna mengikuti dua latihan amali (internship) selain menyertai program pertukaran di Korea Selatan.

"Saya menghantar resume bagi 40 jawatan pekerjaan dan sekitar 80 peratus daripada itu adalah relevan kepada jurusan perniagaan. Saya dipanggil untuk beberapa temu duga pada bulan Februari dan Mac yang lalu tetapi saya masih menunggu respons daripada syarikat-syarikat tersebut," kata Erna.

Gadis berusia 24 tahun ini bagaimanapun enggan berpeluk tubuh dan sebaliknya mencari cara untuk mengisi masa lapangnya.

Sebelum 'circuit breaker' dikuatkuasakan, Erna dapat melakukan beberapa kerja sambilan, memberi tuisyen dan berniaga secara kecil-kecilan dari rumah.

Beliau juga sudah bersiap sedia untuk merebut apa saja peluang yang ada sekalipun tidak berkaitan dengan jurusannya.

Meskipun sudah menjangkakan peluang untuk mendapatkan pekerjaan akan menjadi lebih sukar di tengah-tengah COVID-19, hakikat ini tetap meruntun hatinya. Mentelah lagi, sama seperti ramai siswazah lain, Erna sudah berazam untuk berdikari selepas lulus universiti.

"Perancangan masa depan saya turut terjejas atau terpaksa ditangguhkan kerana pendapatan yang dijangkakan atau diperlukan itu tidak ada. Jadi boleh dikatakan bahawa kesannya agak teruk."

ROSSAFIQ BERSYUKUR DAPAT TAWARAN KERJA SEBELUM GENGGAM IJAZAH

Sungguhpun demikian, ada juga para bakal graduan yang cukup bernasib baik.

Mahasiswa jurusan pengurusan perniagaan Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Muhammad Rossafiq Bin Mohd Roszaini, adalah antara mereka yang mendapat tawaran kerja sepenuh masa jauh sebelum menamatkan pengajian.

Rossafiq, 26 tahun, dijangka menggenggam ijazahnya pada Ogos nanti.

Beliau mendapat tawaran dari Llyods Bank kerana menunjukkan prestasi cemerlang ketika menjalani latihan amali dengan bank tersebut pada tahun lalu.

"Saya ditawarkan kontrak sepenuh masa pada tahun lalu. Banyak perkara yang tidak diajar di sekolah dapat saya pelajari semasa mengikuti latihan amali itu. Saya amat berterima kasih saya dapat," ujar Rossafiq yang meminati bidang kewangan selepas diberi pendedahan di SMU.

Akur sekarang adalah masa mencabar bagi para mahasiswa sepertinya untuk mendapatkan pekerjaan, pemuda berusia 26 tahun ini berharap rakan-rakan sebaya tidak akan patah semangat.

"Ramai kawan-kawan saya yang masih sedang cari kerja. Saya harap mereka tidak putus asa dan cuba sampai berjaya. Kita sudah belajar selama 3-4 tahun di universiti, wajar kita berusaha untuk menikmati kemanisannya."

SEKTOR-SEKTOR TERTENTU MASIH LAMAR PEKERJA

Berkongsi dengan lebih lanjut bersama BERITAmediacorp, Encik Saktiandi berkata sememangnya terdapat sektor-sektor tertentu yang masih mengambil pekerja baru kerana tidak mengalami permintaan lemah.

(Gambar fail: TODAY)

Antara sektor-sektor yang dimaksudkan adalah sektor infokom dan teknologi (ICT), jagaan kesihatan, perdagangan borong serta khidmat kewangan dan insurans.

Sektor-sektor tersebut umumnya adalah segmen yang menawarkan khidmat-khidmat penting, terutama sekali dalam masa-masa mencabar ini.

"Khidmat jagaan kesihatan umpamanya, masih memerlukan pekerja untuk menangani situasi COVID-19. Saya juga rasa pada masa akan datang, akan ada pelaburan buat jangka masa panjang dalam sektor itu. Jadi pengambilan pekerja bukan saja bagi jururawat, tetapi pakar-pakar dalam spektrum yang luas dalam sektor itu," jelas Encik Saktiandi.

(Gambar: TODAY)

Demi membantu bakal-bakal siswazah serta lulusan politeknik dan ITE, Pemerintah baru-baru ini mengumumkan 8,000 peluang latihan berbayar di bawah inisiatif SGUnited.

Siswazah yang berjaya mengikuti program itu akan menerima elaun antara $1,800 hingga $2,500 sebulan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan