Skip to main content

Kewangan

EDB bantu puluhan kakitangan ONE Championship teroka peluang kerja, kemahiran baharu selepas diberhentikan kerja

Anggaran Waktu Membaca:
EDB bantu puluhan kakitangan ONE Championship teroka peluang kerja, kemahiran baharu selepas diberhentikan kerja

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 19 Oct 2024 09:57AM Dikemas Kini : 19 Oct 2024 10:20AM
SINGAPURA: Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) sedang berhubung dengan ONE Championship untuk membantu pekerja yang terjejas selepas ia memberhentikan sejumlah pekerja pada Rabu (16 Okt).

Menjawab pertanyaan Mediacorp, EDB menyatakan pada Jumaat (18 Okt) bahawa ia sedang mengkaji bagaimana ia boleh membantu ONE Championship dengan "usahanya untuk membantu pekerja yang terjejas meneroka peluang pekerjaan atau latihan kemahiran baharu".

Firma yang berpangkalan di Singapura itu mendedahkan dalam satu kenyataan pada Rabu bahawa ia telah memutuskan untuk memberhentikan "berpuluh-puluh" pekerja, tanpa menyatakan berapa ramai yang terjejas.

One Championship kemudian menyatakan bahawa langkah itu adalah sebahagian daripada "pelan strategik keseluruhan untuk syarikat tersebut meraih keuntungan dalam masa beberapa bulan akan datang".

EDB, sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), menampilkan ONE Championship di laman webnya sebagai contoh keusahawanan kreatif di Singapura.

Ia menggambarkan ONE Championship sebagai "entiti media sukan terbesar di Asia, yang dicipta dan berpusat di Singapura".

Pada 2018, EDB menampilkan ONE Championship dan ketua pegawai eksekutifnya Chatri Sityodtong sebagai sebahagian daripada kempen jenamanya untuk mempamerkan Singapura sebagai lokasi menarik untuk syarikat-syarikat meneruskan keusahawanan kreatif.

EDB menyatakan pada Jumaat: "Syarikat-syarikat mungkin perlu mengkaji semula operasi mereka di Singapura dari semasa ke semasa disebabkan oleh peralihan pasaran atau perubahan pada strategi perniagaan mereka."

Semasa memberhentikan pekerjanya, ONE Championship tidak mengadakan acara seni mempertahankan diri campuran di Singapura selama lebih setahun, dengan kebanyakan pertunjukannya di Bangkok.

Pemberhentian pekerja ONE Championship adalah satu daripada beberapa pemberhentian pekerja berprofil tinggi sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Awal bulan ini, firma teknologi Dyson dan gergasi elektronik Samsung mengumumkan pemberhentian kakitangan masing-masing, termasuk pekerja di pejabat Singapura.

Pada Khamis, peruncit fesyen Love, Bonito mengumumkan bahawa ia memberhentikan hampir 7 peratus daripada jumlah pekerja globalnya, termasuk 14 peranan di Singapura.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita