Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Dubai bakal lancarkan usaha niaga teksi dengan syarikat khidmat kereta sewa privet Careem

Badan pengawal selia pengangkutan Dubai bakal melancarkan sebuah khidmat teksi baru bersama syarikat khidmat kereta sewa privet, Careem, pesaing Uber di Timur Tengah.

Anggaran Waktu Membaca:
Dubai bakal lancarkan usaha niaga teksi dengan syarikat khidmat kereta sewa privet Careem

Ibu pejabat Careem di Dubai. (Gambar: Satish Kumar/Reuters)

Diterbitkan : 23 Dec 2018 08:29PM Dikemas Kini : 23 Dec 2018 08:36PM

DUBAI: Badan pengawal selia pengangkutan Dubai bakal melancarkan sebuah khidmat teksi baru bersama syarikat khidmat kereta sewa privet, Careem, pesaing Uber di Timur Tengah.

Penguasa Jalan Raya dan Pengangkutan Dubai (RTA) menyatakan perjanjian itu adalah yang pertama seumpamanya di dunia antara sebuah pihak penguasa pengangkutan negara dengan khidmat kereta sewa privet, yang kadangkala mempunyai hubungan mencabar dengan pemerintah.

Hampir 11,000 teksi akan dikendalikan oleh syarikat baru itu, dengan 51 peratus bahagian dimiliki oleh RTA manakala 49 peratus dimiliki oleh Careem, menurut jurucakap Careem sambil menambah bahawa usaha niaga itu mungkin akan diperluaskan untuk merangkumi bas-bas serta jenis pengangkutan yang lain.

RTA menyatakan ia memilih Careem bagi usaha niaga itu selepas menerima bidaan daripada lima khidmat kereta sewa privet di peringkat global. Menurut sumber yang mengikuti perkembangan perjanjian itu, Uber adalah antara pembida yang gagal.

Uber bagaimanapun enggan mengulas.

Kedua-dua Uber dan Careem mengendalikan khidmat limusin di Dubai, sebuah bandar yang mempunyai sekitar tiga juta penduduk, manakala teksi-teksi juga dikendalikan oleh RTA.

Di bawah syarikat baru yang akan mula beroperasi pada April 2019 itu, para pelanggan boleh menempah teksi menerusi satu aplikasi yang teknologinya akan disediakan oleh Careem. Para pelanggan juga masih boleh menahan teksi di tepi jalan.

Careem, yang disokong syarikat pembuat kereta Jerman Daimler dan syarikat khidmat kereta sewa privet terbesar di China Didi Chuxing, merupakan pesaing utama Uber di kebanyakan bandar utama di Timur Tengah.

Sumber : Reuters/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan