Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

DPPMS tubuh Akademi baru; wadah sehenti bimbing & latih usahawan, peniaga muda

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) mengumumkan penubuhan Akademi DPPMS bagi memupuk keusahawanan dan keupayaan sedia masa depan dalam masyarakat Melayu/Islam tempatan.

Demikian menurut DPPMS dalam kenyataan medianya pada Isnin (17 Jan).

Menerusi penubuhan Akademi DPPMS, DPPMS berharap para pemilik perniagaan akan dilengkapi dengan kemahiran yang sewajarnya untuk menempuhi landskap perniagaan yang mencabar, di samping melahirkan peniaga dan usahawan dengan keupayaan sedia masa depan bagi memastikan mereka dapat terus bertakat.

Sebilangan kursus kendalian Akademi DPPMS menyasarkan bidang-bidang teras seperti penjenamaan dan pemasaran, pengurusan perniagaan serta pendigitalan.

Selain itu, Akademi DPPMS juga akan mengendalikan program-program kenal suai yang direka khas bagi mempertingkatkan keupayaan golongan berikut:

- Syarikat pemula (golongan bercita-cita menjadi usahawan)
- Perniagaan Mikro (berniaga dari rumah)
- Golongan Asatizah guru-guru agama Islam yang bertauliah di bawah Skim Pentauliahan Asatizah (ARS))
- Golongan Belia (golongan usahawan remaja yang berusia antara 13-18 tahun)

Program-program itu juga akan ditawarkan dalam tiga peringkat iaitu Asas, Pertengahan dan Lanjutan.

Ini bagi memastikan setiap peserta daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia dapat menyertai program tersebut.

Sepanjang program itu, Akademi DPPMS akan menilai dan memantau perkembangan para peserta bagi memastikan perjalanan mereka berjalan lancar.

Akademi DPPMS mengambil pendekatan pembelajaran yang berbeza dengan melengkapi aktiviti dalam kelas dengan kegiatan-kegiatan luar kelas seperti lawatan pembelajaran, 'sesi fireside' (sesi soal jawab)serta sesi bimbingan oleh para usahawan yang berpengalaman.

Selain itu, di penghujung program, Akademi DPPMS akan memastikan para graduannya berpeluang menembusi pasaran sama ada sebagai seorang pemilik perniagaan atau kakitangan yang berkemahiran.

Menurut DPPMS, pihaknya akan memudahkan proses itu dengan membina rangkaian bersama pihak-pihak berkepentingan seperti syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME), syarikat-syarikat tempatan yang besar, syarikat-syarikat berbilang negara (MNC) serta Persatuan Perdagangan dan Dewan Perusahaan dan selagi boleh, ia juga akan memudahkan pemadanan antara para majikan dengan pekerja berdasarkan pangkalan data para graduan Akademi DPPMS.

"Dengan trend meningkat golongan belia menembusi dunia perniagaan, terdapat keperluan untuk memastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran yang betul untuk mempersiapkan mereka bagi landskap ekonomi dan perniagaan yang kian berubah-ubah, sama ada digital, tempatan atau antarabangsa.

"Pelancaran Akademi DPPMS ini bertujuan untuk mencapai hal ini dengan menyusun kursus-kursus dan program yang betul bagi setiap kumpulan sasaran.

"Kami yakin Akademi ini bukan sahaja akan membantu para pemilik perniagaan yang cemerlang tetapi juga menggalak golongan belia dan pemilik perniagaan untuk menceburi bidang keusahawanan," kata Presiden DPPMS Encik Farid Khan.

Para peserta yang berminat boleh melungsuri laman academy.smcci.org.sg untuk mendapatkan lebih banyak maklumat tentang program-program dan kursus-kursus kenal suai Akademi DPPMS.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan