Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

DPPMS harap Belanjawan 2021 akan teruskan skim bantuan tahun lepas

Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) berharap Belanjawan Negara 2021 akan meneruskan dan tidak menghentikan skim-skim bantuan yang diberikan kepada syarikat-syarikat sejak tahun lepas.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) berharap Belanjawan Negara 2021 akan meneruskan dan tidak menghentikan skim-skim bantuan yang diberikan kepada syarikat-syarikat sejak tahun lepas.

Demikian antara permintaan yang disuarakan DPPMS berhubung Belanjawan pemerintah yang bakal dibentangkan pada Selasa (16 Feb).

SKIM-SKIM BANTUAN DIHARAP DAPAT DITERUSKAN BAGI BELANJAWAN NEGARA 2021

Tahun lepas, Pemerintah melancarkan lima Belanjawan berjumlah sekitar S$100 bilion demi menyelamatkan syarikat-syarikat daripada gulung tikar selain mengekalkan pekerjaan.

Bagi tahun ini, Presiden DPPMS, Farid Khan berharap segala bantuan yang sedang dihulurkan kepada syarikat-syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (SME), tidak akan dihentikan.

DPPMS menyatakan kebimbangan terbesar para peniaga bagi tahun ini adalah kenaikan kos sewa premis dan peningkatan kos pekerja.

Para peniaga juga, menurutnya, bimbang tentang daya tahan perniagaan dan iklim ekonomi global yang tidak menentu.

"Kita mengharapkan supaya Pemerintah boleh melihat ulang pada cukai-cukai, atau rebat yang telah diberikan dulu supaya tidak dihentikan. Itu sangat membantu pada tahun lepas dan kita boleh lihat pada tahun ini pun, mungkin kemungkinan besar situasi tidak akan berubah pada tahun ini," ujar Encik Farid.

Menurut DPPMS, ia menjalankan satu tinjauan pra-Belanjawan antara bulan lalu hingga bulan ini ke atas para peniaga Melayu/Islam.

Dapatannya menunjukkan 54% responden dari pelbagai sektor berharap Pemerintah akan memperkenalkan skim peningkatan kemahiran dan juga bantuan tenaga kerja.

Bantuan sedemikian, menurut DPPMS, termasuk meminta agar peraturan mengenai pengambilan pekerja dapat dilonggarkan.

Timbalan Presiden DPPMS, Abu Bakar Mohd Nor berkata: "Antara perkara yang para anggota (DPPMS) harapkan adalah bagaimana untuk memudahkan tenaga pekerja, untuk memudahkan replikasi tenaga pekerja. Kedua tentang pemasaran dan ketiga bagaimana untuk membantu mengurangkan kos operasi."

"Sebagai seorang peniaga kalau kita dapat bantuan dari segi apapun, CPF ke apa ke, adalah sesuatu yang baik," tambahnya.

Ditanya apakah DPPMS menjangkakan lebih daripada satu belanjawan akan dibentangkan tahun ini sebagaimana tahun lalu, berikut jawapan Encik Farid: "Kita mengharapkan, kerana tahun ini saya rasa akan lebih mencabar dari tahun lepas. Tahun lepas, orang dah pasrah, dah tahu ini dah memang keadaan begitu. Semua mengharapkan pada tahun ini." 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan