Dolar Amerika goyah selepas pasaran semakin prihatin terhadap kredibiliti Rizab Persekutuan
Dolar Amerika dalam keadaan yang rapuh pada Khamis (17 Jul), dengan kebimbangan semakin meningkat sedang Presiden Donald Trump dijangka akan memecat pengerusi Rizab Persekutuan, yang dikhuatiri akan menjejas keyakinan terhadap pasaran Amerika Syarikat.
Gambar wang kertas Amerika Syarikat dalam ilustrasi ini dipetik pada 17 Julai 2022. (Gambar fail: REUTERS/Dado Ruvic)
Encik Trump menafikan laporan yang menyatakan bahawa beliau merancang untuk memecat Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell kerana enggan menurunkan kadar faedah.
Para pelabur bimbang pemecatan Encik Powell sebelum penggalhnya berakhir pada Mei 2026 akan menjejas kredibiliti dalam sistem kewangan Amerika dan dolar sebagai mata wang yang selamat.
"Jika ia dilaksanakan, anda akan melihat dolar yang jauh lebih lemah daripada yang kami jangkakan," kata Encik Mahjabeen Zaman, ketua penyelidikan mata wang asing dalam podcast ANZ. "Peristiwa sedemikian, jika ia berlaku, ia akan menimbulkan tanda tanya tentang kebebasan dan kewibawaan Rizab Persekutuan, jadi saya fikir ia hanya akan menyebabkan pergolakan."
Encik Trump telah menyelar Encik Powell selama berbulan-bulan kerana tidak menurunkan kadar faedah, yang menurutnya, sepatutnya diturunkan 1 peratus atau lebih rendah daripada itu.
Bloomberg melaporkan bahawa Encik Trump berkemungkinan akan memecat Encik Powell tidak lama lagi, dan sumber memberitahu Reuters bahawa Encik Trump sudah mendapatkan pandangan beberapa penggubal undang-undang Republican mengenai pemecatan Encik Powell dan menerima respons positif. Encik Trump bagaimanapun mendakwa bahawa laporan itu tidak benar.
"Saya tidak menolak apa-apa, melainkan beliau dipecat atas penipuan," kata Encik Trump, sambil merujuk kepada kritikan penggubal undang-undang Rumah Putih dan Republican baru-baru ini mengenai lebihan kos dalam kerja-kerja ubah elok bernilai AS$2.5 bilion ke atas ibu pejabat bersejarah Rizab Persekutuan di Washington.
Indeks dolar, yang mengukur dolar Amerika berbanding mata wang utama dunia, tidak banyak berubah pada paras 98.384 selepas susut 0.3 peratus pada Rabu. Mata wang Amerika itu meningkat 0.2 peratus selepas mengalami penurunan 0.6 peratus semalam.
Para pelabur kekal fokus kepada pelaksanaan tarif menjelang tarikh akhir 1 Ogos, dengan ramai rakan dagang Amerika berdepan levi perdagangan yang lebih tinggi.
Encik Trump berkata pada Rabu (16 Jul) bahawa beliau mungkin akan "mengekalkan tarif yang dikenakan ke atas Jepun dan mungkin memeterai satu lagi perjanjian perdagangan dengan India, berikutan pengumumannya mengenai perjanjian dengan Indonesia pada Selasa lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.