'Diplomasi Durian': Indonesia rancang eksport durian beku ke China tahun ini
Indonesia sedang berusaha untuk memulakan eksport durian beku ke China pada hujung tahun ini selepas perjanjian untuk membekalkan durian dimeterai antara kedua-dua negara itu.
Indonesia melihat peluang besar pada permintaan durian dari China. (Gambar: CNA)
Ia diumumkan ketika kedua-dua pihak meraikan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik mereka tahun ini.
Membeli raja buah itu kini menjadi daya tarikan terbaharu China untuk menambat hati negara-negara di Asia Tenggara, dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan dengan rantau tersebut di tengah-tengah persaingan sengit dengan Amerika Syarikat.
Dalam apa yang dilabelkan sebagai "diplomasi durian", Beijing telah berjanji untuk membuka pasaran domestiknya yang semakin berkembang dan mengimport lebih banyak durian dari negara-negara di Asia Tenggara.
PASARAN DURIAN YANG BERKEMBANG DI CHINA
Indonesia telah menyasarkan pasaran China untuk mengembangkan eksport durian, dengan import buah itu bernilai hampir AS$7 bilion pada tahun lalu.
Indonesia percaya ia akan membuka laluan kepada eksport lain yang menguntungkan, di mana lebih ramai penggemar durian boleh meneroka pelbagai jenis durian.
Parigi Moutong, sebuah kabupaten di wilayah Sulawesi Tengah, terkenal dengan durian Monthongnya.
Durian Monthong berasal dari Thailand, tetapi kini juga banyak diusahakan di Indonesia dan Vietnam.
Jenis durian ini besar, biasanya beratnya kira-kira 3kg hingga 5kg. Ia mempunyai tekstur berkrim dan rasa manis, dengan biji yang lebih kecil dan isi yang lebih tebal berbanding dengan kebanyakan jenis durian yang lain.
Walaupun durian Monthong dalam bentuk beku sudahpun tersedia di China, ia kini dieksport dari Indonesia melalui Thailand.
Kini, rantaian bekalannya langsung dalam jangkauan penggemar durian di China.
"Jika kami menghantar melalui Thailand, ia mengambil masa kira-kira sebulan untuk sampai ke China," kata Muhammad Tahir, pengarah PT Ammar Durian Indonesia.
"Jika kita boleh pergi terus dari pelabuhan Pantoloan (di Palu di Sulawesi Tengah) ke China, ia hanya akan mengambil masa sekitar seminggu."
Tahir menambah, kos penghantaran durian terus ke China adalah separuh daripada harga untuk mengeksportnya melalui Thailand.
Tahun lalu, syarikat itu menghantar 30 kontena durian. Ia menjangkakan dapat meningkatkan eksport kepada 50 kontena sebaik laluan langsung ke China diwujudkan.
China telah melaksanakan protokol eksport yang ketat untuk durian, yang memerlukan petani dan pembekal dari Indonesia mematuhi piawai yang ketat. Ini termasuk Amalan Pertanian Baik, Amalan Pengendalian Baik dan Amalan Pengilangan Baik untuk memastikan tahap kawalan mutu yang tinggi.
Keseluruhan rantaian bekalan durian juga mesti dapat dipantau sepenuhnya, menawarkan ketelusan dan akauntabiliti sepanjang proses eksport.
“Bermula dari dusun durian, sehingga siap untuk dihantar, ia mesti dapat dipantau,” kata Ahmad Mansuri Alfian, yang mengetuai Pusat Kuarantin Haiwan, Ikan dan Tumbuhan di Sulawesi Tengah.
"Agensi Kuarantin Indonesia telah mencipta aplikasi di mana sistem akan menggunakan kod bar," tambahnya.
Aplikasi itu membolehkan pegawai hanya mengimbas kod bar untuk mengetahui sama ada produk itu dari rkilang pembungkusan atau dusun tertentu.
MENYOKONG PETANI DURIAN
PT Silvia Amerta Jaya merupakan salah satu daripada 14 kemudahan pemprosesan durian di Parigi Moutong yang telah mendaftar untuk mengeksport durian bekunya terus ke China.
Syarikat itu, yang mempunyai rangkaian 500 petani durian di daerah itu, juga sedang mendapatkan pentauliahan untuk mengeksport durian segar ke pasaran China yang luas.
“Kami mahu menambah bilangan pokok di dusun kami,” kata pengarahnya Ni Made Ayu Ningsih.
“Kami sentiasa (bekerjasama) dengan masyarakat jika ada sebidang tanah kosong, kami kata: Mari kita tanam komoditi ini,” tambahnya.
Sulawesi Tengah mempunyai kira-kira 30,000 hektar tanah dusun durian, tetapi hanya 10 peratus daripadanya telah mendapat akreditasi daripada pihak berkuasa tempatan.
Kebanyakan petani masih menggunakan amalan pertanian yang mudah.
“Kami berharap dapat melengkapi para petani dengan dron dan alat pertanian yang lebih moden,” kata I Wayan Wardika, penganalisis kakitangan di Jabatan Tanaman Makanan, Hortikultur dan Peladangan di Parigi Moutong.
"Ini bermakna kita perlu menyesuaikan perbelanjaan yang disediakan oleh pemerintah tempatan."
MENGUKUHKAN KERJASAMA
Jangkaan eksport durian langsung dari Indonesia ke China dirangsang oleh hubungan baik antara kedua-dua pihak, kata para pemerhati.
November lalu, Presiden Indonesia Prabowo Subianto melawat China sebulan selepas menyandang jawatan itu.
“Semasa lawatan negara presiden ke China, kami bersetuju dengan protokol untuk kelapa dari Indonesia. Kami masih mengusahakan durian dan saya rasa kami tidak jauh dari mencapainya,” kata Duta Besar China ke Indonesia Wang Lutong.
"Para pelanggan China menyukai makanan Indonesia (dan) buah-buahan, dan kami melihat banyak akses pasaran ke China."
Kementerian Pertanian Indonesia telah mengklasifikasikan lebih 100 jenis durian tempatan di seluruh negara.
Ia juga telah mengenal pasti lima jenis durian premium dengan potensi eksport yang kukuh dan memperuntukkannya untuk pembangunan berskala besar.
Liferdi Lukman, pengarah buah-buahan dan florikultur di kementerian tersebut berkata: “Kami telah mengadakan program sejak 2024, bermula di lima wilayah, untuk menanam durian yang diramal akan menembusi pasaran global.
“Jadi durian ini datang daripada benih setiap jenis durian dari sekitar 1,000 pokok."
Indonesia adalah salah satu pengeluar durian terkemuka di dunia, menghasilkan kira-kira 1.2 juta tan setiap tahun. Tetapi sebahagian besar bekalannya adalah untuk memenuhi pasaran domestik.
"Mengapa kek durian dikuasai oleh Thailand, Vietnam dan Malaysia?" kata Liferdi.
"Kami tidak mahu menjadi pengeluar durian terbesar di dunia tetapi kekal sebagai penonton semata-mata."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.