Defisit tahunan HDB cecah paras rekod S$6.8 bilion pada Tahun Kewangan 2023
Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Khamis (7 Nov) melaporkan defisit tahunan yang mencecah paras rekod, iaitu sekitar S$6.78 bilion pada Tahun Kewangan 2023 (FY2023).

Flat HDB di Singapura. (Gambar fail: iStock)
Defisit bersih FY2023 sebelum geran pemerintah meningkat jika dibandingkan dengan defisit S$5.38 bilion pada tahun sebelumnya, menurut HDB dalam kenyataan medianya.
"HDB mengalami defisit yang ketara setiap tahun kerana jumlah kutipan daripada penjualan flat adalah lebih rendah daripada jumlah kos untuk membangunkan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan geran perumahan yang diagihkan," tambahnya.
Daripada defisit FY2023, sekitar S$6.23 bilion adalah daripada segmen Skim Geran Pemilikan Rumah.
Segmen ini meliputi pembangunan dan penjualan flat kepada pembeli yang layak di bawah pelbagai skim pemilikan rumah untuk perumahan awam, dan agihan geran kepada isi rumah yang layak.
SEGMEN PEMILIKAN RUMAH
Defisit bagi segmen Pemilikan Rumah sebahagian besarnya daripada defisit yang dijangkakan untuk flat-flat yang sedang dibangunkan, defisit kasar penjualan flat dan agihan geran perumahan CPF.
Terdapat peningkatan bersih kira-kira S$3.74 bilion dalam peruntukan untuk "defisit yang dijangkakan" untuk flat-flat yang sedang dibina pada FY2023.
Memandangkan perumahan awam mendapat subsidi yang tinggi, HDB mengalami defisit untuk projek-projek BTO walaupun ia baru mula dibangunkan. Peruntukan untuk defisit ini perlu dibuat terlebih dahulu.
"Ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan berterusan pada bekalan flat BTO, yang menyaksikan kira-kira 22,700 flat mula dibina pada FY2023, peningkatan 50 peratus berbanding 15,100 flat pada FY2022," kata HDB.
HDB telah melancarkan lebih 82,000 flat sejak 2021 dan ia menepati sasaran untuk menawarkan 100,000 flat dari 2021 hingga 2025, tambah HDB.
"Kos binaan kekal tinggi, sebahagian besarnya disebabkan oleh ketidaktentuan pasaran yang berpunca daripada konflik geopolitik yang berterusan, yang boleh mencetuskan kejutan bekalan dan permintaan global yang negatif," menurut HDB.
HDB juga mengalami defisit kasar yang lebih tinggi iaitu sekitar S$1.37 bilion untuk penjualan yang sudah selesai - kunci flat yang diberikan kepada para pembeli - pada FY2023, berbanding S$1.2 bilion pada FY2022.
Ini disebabkan oleh kos binaan yang lebih tinggi untuk penjualan flat yang disiapkan pada FY2023 (16,844) berbanding tahun sebelumnya (18,478), walaupun unit yang dijual berkurangan.
Jumlah penjualan flat ini tidak termasuk studio apartmen dan flat yang dijual dengan tempoh pajakan yang pendek, tambah HDB.
HDB juga mengagihkan lebih banyak geran kepada pembeli flat jualan semula dan kondominium eksekutif yang layak pada FY2023.
Sekitar S$999 juta dijana pada FY2023, peningkatan kira-kira 46 peratus berbanding S$686 juta yang dikeluarkan pada FY2022.
HDB menyatakan bahawa Geran Perumahan CPF dinaikkan sehingga S$30,000 sejak 14 Feb 2023 "untuk meningkatkan kemampuan flat jualan semula bagi pembeli kali pertama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.