DBS jangka GDP Singapura berganda jelang 2040, dolar SG setara dengan Amerika
DBS Group Research pada Rabu (22 Okt) menyatakan bahawa ia menjangka Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Singapura akan berganda menjelang 2040, dengan Indeks Straits Times (STI) berpotensi meningkat hampir ke paras 10,000 mata.
Orang ramai berjalan di sebuah lorong di daerah Kampong Glam, Singapura, pada 11 Jun 2025. (Gambar: REUTERS/Edgar Su)
Dalam satu laporan, bahagian penyelidikan bank terbesar Singapura itu menyatakan, pertumbuhan sebenar GDP dijangka tumbuh pada purata 2.3 peratus setahun dalam tempoh 15 tahun akan datang, melebihi kadar pertumbuhan kebanyakan ekonomi maju lain.
Laporan tersebut menyatakan bahawa GDP Singapura dijangka tumbuh melebihi dua kali ganda kepada antara $1.2 trilion (S$1.56 trilion) hingga $1.4 trilion (S$1.82 trilion) menjelang 2040, berbanding $547 bilion (S$710.3 bilion) pada 2024.
Menurut DBS, dasar fiskal yang berdisiplin, aliran modal selamat, peningkatan produktiviti yang stabil, serta lebihan akaun semasa yang berterusan dijangka menjadi pemacu utama bagi pengukuhan mata wang jangka panjang.
Laporan itu juga menyebut bahawa Indeks Straits Times (STI) sudah pun memecahkan kebuntuan selama 17 tahun, apabila ia melepasi paras 4,000 mata pada 2025, menandakan peralihan positif sederhana dalam pasaran.
Singapura juga sedang memperkukuh pasaran modalnya menerusi program pembangunan pasaran ekuiti bernilai S$5 bilion oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS), yang bertujuan menggiatkan semula pasaran dan meningkatkan kecairan dalam saham bersaiz kecil dan sederhana.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.